Mohd Nasif Badruddin; Suraya Roslan dan Yusmizal Dollah Aling


SAMBUTAN Hari Kebangsaan 2017 berlangsung meriah penuh nostalgia apabila Dataran Merdeka, Kuala Lumpur berubah wajah seperti ‘Stadium Merdeka’ sekali gus mengembalikan semula detik bersejarah pada 31 Ogos 1957.

Konsep istimewa itu turut mengimbas semula sejarah negara dengan mengembalikan beberapa watak penting dalam sambutan kemerdekaan 60 tahun lalu selain lakonan semula dari awal zaman penjajahan hingga merdeka.

Acara rasmi bermula dengan pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V sebaik keberangkatan tiba baginda di Dataran Merdeka.

Sambutan kemudian diteruskan dengan imbasan pra kemerdekaan, disusuli pelepasan 60 burung merpati oleh Penerima Pingat Hang Tuah pada 1962, Rusnah Aksah, 66, yang pernah melepaskan burung merpati putih sewaktu pembentukan Malaysia pada 1963.

Meneruskan nostalgia, dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menaikkan bendera Malaya pada 1957 iaitu Leftenan Komander (B) Mohamed Sharif Kalam, 80, dan Pegawai Waran 1 (B) Oliver Culvelt Samuel, 83, diberi penghormatan melakukan tugas sama menaikkan Jalur Gemilang.

Acara kemudian diteruskan dengan bacaan ikrar oleh tiga generasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disusuli dengan laungan Merdeka tujuh kali oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sejurus selesai imbasan era pembangunan negara di bawah enam Perdana Menteri, sambutan dimeriahkan dengan persembahan khas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM disusuli terbang lintas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membentuk formasi angka 60.

Kemudiannya, acara perbarisan dimeriahkan dengan sembilan segmen iaitu Kenegaraan, Perpaduan, Animasi dan Industri Kreatif, Sukan, Transformasi Nasional 2050 (TN50), Kenteraman Awam, Keselamatan Negara, Pertunjukan Udara serta Pancaragam Gabungan Pasukan Beruniform dan Komponen Rakyat Bersepadu.

Seramai 18,076 orang daripada 42 kontinjen dengan 311 aset darat, udara dan laut menyertai perarakan terbesar dalam sejarah negara selain dimeriahkan dengan gabungan pancaragam dari pelbagai pasukan beruniform.

Paling istimewa, Sultan Muhammad V berangkat mencemar duli ke sambutan Hari

Kebangsaan kali pertama sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Sambutan turut dimeriahkan dengan kehadiran waris pejuang kemerdekaan negara dan pembentukan Malaysia selain kedatangan 39 veteran tentera British yang berjuang ketika zaman komunis dan Konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 3:23 PM