Siti Rohana Idris


Tumpat: "Kami diberi menumpang untuk tiga hari sahaja oleh jiran dan selepas itu entah ke mana ingin berlindung," kata mangsa kebakaran yang membabitkan lima rumah di Kampung Masjid di sini, malam tadi.

Awatif Ahmad, 28, berkata, mereka lima beranak masih trauma dengan tragedi yang dilalui menjelang beberapa minit untuk berbuka puasa malam tadi dan kini buntu memikirkan ke mana hala selepas ini.

Dia berkata, untuk mencari rumah sewa dalam masa terdekat, ia agak mustahil kerana banyak kekangan termasuk kewangan yang tidak mencukupi selain hanya tinggal sehelai sepinggang.

"Bukan hanya perkakas rumah dan dokumen penting yang tidak dapat diselamatkan, seutas gelang dan sebentuk cincin emas serta sejumlah wang tunai yang disimpan dalam rumah turut hangus.

KEADAAN lima rumah yang hangus dalam kebakaran yang di Kampung Masjid di sini, malam tadi. FOTO Siti Rohana Idris
KEADAAN lima rumah yang hangus dalam kebakaran yang di Kampung Masjid di sini, malam tadi. FOTO Siti Rohana Idris

"Buat masa sekarang, kami menumpang di rumah jiran atas belas ihsan mereka dan diberi masa beberapa hari sahaja sebelum berpindah namun kami tiada tempat berteduh," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.10 malam tadi, lima rumah termasuk satu unit yang dijadikan bengkel memproses keropok hangus 100 peratus menyebabkan penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang lagi mangsa, Azwadi Ayob, 36, kerugian lebih RM5,000 membabitkan beberapa peralatan kimpalan yang menjadi sumber pendapatannya hangus.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dalam kejadian itu, dia berada di rumah neneknya di Kampung Baru Nelayan untuk berbuka puasa dan dihubungi jiran memaklumkan rumahnya sedang terbakar.

"Tiada apa yang dapat diselamatkan dan saya bukan sahaja kehilangan rumah tapi juga pekerjaan kerana semua peralatan serta mesin yang digunakan untuk kerja hangus.

"Buat masa sekarang saya, isteri dan anak menumpang di rumah nenek tapi agak tidak selesa kerana ramai ahli keluarga lain menetap di sana selain saiz rumah yang sempit tapi kami tiada pilihan," katanya sambil bergenang air mata.

Terdahulu semua mangsa menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan yang menyampaikan sumbangan daripada Tabung Serambi Mekah berjumlah RM1,000 setiap keluarga.

Turut hadir Ketua Jajahan Tumpat, Rusydee Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyampaikan sumbangan RM2,000 setiap keluarga serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tumpat yang menyampaikan bantuan kewangan serta barangan keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 1:44 PM