DUIT raya yang disimpan Robiah ditemui hampir hangus. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
DUIT raya yang disimpan Robiah ditemui hampir hangus. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Saya reda dengan ujian ini namun yang penting semuanya selamat biarpun rumah musnah dalam kebakaran," kata Robiah Waris dari Felda Palong Tujuh selepas kediamannya hangus dalam kebakaran hari ini.

Dalam kejadian jam 10.15 pagi itu, rumah Robiah, 64, musnah 90 peratus menyebabkan dia dan anaknya tinggal sehelai sepinggang.

Robiah berkata, ketika kejadian, dia bersama dengan anak lelaki berada di kebun.

Katanya, duit raya untuk 18 cucu yang berumur antara 8 bulan hingga 15 tahun yang disimpan di dalam al-Quran hampir hangus.

Menurutnya, wang berkenaan disimpan sejak Aidilfitri tahun lalu namun jumlahnya tidak dapat dipastikan kerana tidak pernah mengiranya.

"Selepas api dipadamkan saya bersama ahli keluarga mencari al-Quran berkenaan dan menemuinya namun keadaan hampir hangus.

"Jika cukup menjelang Aidilfitri tahun ini, saya sudah berniat mahu memberi duit raya kepada cucu RM20 seorang, jika ada lebih saya akan bagi lebih," katanya ketika ditemui.

Robiah berkata, buat ketika ini, dia dan anak lelakinya tinggal di inap desa di tanah rancangan berkenaan buat sementara waktu.

Dia berkata, Aidilfitri akan disambut secara sederhana namun kehadiran anak dan cucunya cukup dinantikan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol, Mohd Hazreen Mohd Zahar berkata, api dapat dikawal dalam masa 10 minit dan dipadam sepenuhnya 30 minit kemudian.

"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 11:33 PM