Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pemuda kerugian lebih RM10,000 apabila bengkel mengecat dan membaiki motosikal miliknya di Kampung Padang Tengir, Manir, di sini, terbakar, hari ini.

Muhammad Rafiq Helmi Abd Ghafar, 22, berkata, dia menyedari kejadian apabila terdengar bunyi letupan kuat sebelum melihat api membakar sebahagian bengkel yang terletak berhampiran rumah keluarganya, pada 7.45 malam.

"Sebaik selesai mengemas barang dan peralatan di bengkel, saya masuk ke rumah pada 7 malam sebelum dikejutkan dengan letupan kuat dari kawasan bengkel," katanya.

Katanya, melihat api menjulang tinggi, dia bersama bapa, Abd Ghafar Abd Samad, 55, dan saudara mara serta rakan segera membawa keluar motosikal ke tempat selamat.

Bagaimanapun, katanya sebuah motosikal miliknya jenis Honda C70 dianggarkan bernilai lebih hampir RM2,000 yang sedang dalam pembaikian hangus.

"Memang sedih apabila bengkel yang diusahakan sejak empat tahun lalu dan motosikal milik saya hangus tetapi saya reda.

"Apa yang merisaukan saya sekarang adalah alat ganti motosikal pelanggan kerana ada yang hangus.

"Ketka kejadian terdapat 11 motosikal milik pelanggan untuk dicat, walaupun semuanya berjaya dialih namun terdapat alat ganti serta beberapa tin cat dan peralatan untuk kerja mengecat hangus," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, lima jentera bomba termasuk sebuah kenderaan utiliti dengan kekuatan 14 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 7.45 malam.

"Kebakaran membabitkan sebuah bengkel motosikal jenis bangunan kayu anggaran keluasan enam meter panjang dan enam meter lebar musnah 50 peratus.

"Kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa dan kerosakan hanya membabitkan barangan alat ganti motosikal yang hangus," katanya sambil menambah punca kejadian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 12:08 AM