SUHAIZAN menyantuni peniaga dan pengunjung ketika melakukan kempen PRK Parlimen Pulai di Pasar Malam Taman Sutera, Perling, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SUHAIZAN menyantuni peniaga dan pengunjung ketika melakukan kempen PRK Parlimen Pulai di Pasar Malam Taman Sutera, Perling, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Isu infrastruktur termasuk perumahan serta peluang pekerjaan, adalah fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, jika diberi mandat rakyat, 9 September nanti.

Oleh itu, Suhaizan berkata, pengundi diharapkan mengekalkan kerusi Parlimen Pulai di pihak kerajaan Perpaduan bagi membolehkan semua perancangan itu dilaksanakan.

Katanya, beliau bertekad untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Pulai apatah lagi kerusi yang terletak di pusat bandaraya itu memerlukan tumpuan khusus supaya masyarakat di situ sentiasa mendapat pembelaan kerajaan dan tidak terpinggir.

"Jika saya diberi mandat dan kepercayaan sebagai Ahli Parlimen Pulai, isu utama yang akan diperjuangkan adalah isu infrastruktur termasuk perumahan serta peluang pekerjaan kepada rakyat.

"Selain itu, isu pendidikan, sosial dan pembangunan modal insan juga akan diberi tumpuan utama supaya rakyat Pulai mendapat manfaat daripada limpahan kemakmuran negara," katanya ketika ditemui.

Suhaizan juga mahu meneruskan perjuangan dan legasi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Parlimen Pulai yang memberikan perkhidmatan cemerlang membantu rakyat setiap lapisan dan golongan tanpa gagal.

"Namun, semua janji dan fokus yang digariskan ini hanya dapat saya perjuangkan apabila PH mendapat kemenangan di Parlimen Pulai," katanya.

Dalam pada itu, Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor berkata, beliau akan turut memperjuangkan serta fokus terhadap isu serta permasalahan rakyat di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang banyak di kawasan Pulai.

"Parlimen Pulai terletak di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dan terdapat empat PPR besar di Kempas, Melana, Uda Utama dan Perling yang memerlukan perhatian berikutan jumlah penduduk yang tinggi di situ.

"Banyak isu-isu perumahan, penempatan penduduk serta infrastruktur yang perlu diberi perhatian terutama masalah komuniti termasuk parkir, lif, jalan serta isu perparitan menjadi rungutan penduduk di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 2:23 PM