ANTARA pameran busana menarik yang dipamerkan di Pameran Warna Warni Busana Malaysia. FOTO Facebook Paradigm Mall Petaling Jaya
ANTARA pameran busana menarik yang dipamerkan di Pameran Warna Warni Busana Malaysia. FOTO Facebook Paradigm Mall Petaling Jaya
BERNAMA

Petaling Jaya: Pakaian tradisional pelbagai kaum di negara ini yang menjadi warisan tamadun dan peradaban sejak zaman berzaman perlu terus dipelihara dan ditonjolkan kepada umum supaya 'tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas'.

Sehubungan itu, Muzium Tekstil Negara dengan kerjasama Paradigm Mall menganjurkan 'Pameran Warna Warni Busana Malaysia' di lot kedai aras satu di pusat beli-belah itu sehingga 17 September ini.

Pengarah Muzium Tekstil Negara Tengku Intan Rahimah Tengku Mat Saman berkata pameran itu bertujuan mempamerkan keunikan, keanggunan dan kepelbagaian busana tradisional serta perhiasan diri yang melambangkan sifat majmuk rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023.

"Pameran ini mengetengahkan keunikan dan keistimewaan busana tradisional setiap kaum iaitu Melayu, Cina, India, masyarakat Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.

"Turut dipamerkan koleksi perhiasan kepala yang dipakai oleh setiap raja dan sultan yang ada selain barang perhiasan diri yang menjadi pelengkap sesuatu busana," katanya kepada Bernama.

PAMERAN Warna Warni Busana Malaysia di pusat beli-belah Paradigm Mall. FOTO Facebook Paradigm Mall Petaling Jaya
PAMERAN Warna Warni Busana Malaysia di pusat beli-belah Paradigm Mall. FOTO Facebook Paradigm Mall Petaling Jaya

Tengku Intan Rahimah berkata, pameran itu yang menyasarkan 10,000 pengunjung bukan sahaja dapat memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, tetapi mengeratkan kerjasama strategik dalam usaha mengangkat, memelihara dan memulihara warisan budaya di Malaysia.

Katanya, 68 koleksi bahan yang dipamerkan merupakan milik Muzium Tekstil Negara selain ada yang dipinjamkan dari Muzium Diraja dan Arkib Negara Malaysia.

Antara yang menarik ialah replika baju Muskat yang dipakai oleh Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa pemahsyuran kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 serta Tengkolok Diraja yang juga pakaian kebesaran Raja-raja Melayu.

"Perhiasan lain seperti Selendang Kelingkan daripada kain kasa berwarna merah jambu yang diperindah dengan sulaman kelingkan menggunakan pita logam pipeh bermotifkan bunga tabur serta Pinakol iaitu aksesori jenis selempang diperbuat daripada manik leper oleh masyarakat Rungus di Kudat, Sabah," katanya.

Beliau berkata atas faktor keselamatan kebanyakan koleksi yang dibawa ke pameran itu adalah replika yang dibuat hampir sama dengan asli.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Walter Chua, 41, berkata, pameran itu membawanya untuk lebih mengenali pakaian tradisional pelbagai kaum di Malaysia selain mengetahui lebih mendalam mengenai Tengkolok Diraja.

"Baru saya tahu, rupa-rupanya setiap tengkolok itu ada perbezaannya dan ada cara ikatan tersendiri bagi setiap negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 9:38 AM