Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Keunikan koleksi hiasan kepala tradisional pelbagai kaum di negara ini termasuk ada antaranya menggunakan tengkorak burung dipamerkan untuk tatapan umum sempena Pameran Hiasan Kepala: Kecantikan dan Kuasa di Muzium Tekstil Negara (MTN), dekat sini.

Menariknya, pameran bermula semalam hingga 25 Februari 2017 bakal mempamerkan 128 koleksi tekstil termasuk 18 daripadanya milik pereka fesyen terkenal Bremen Wong, 42.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, hiasan kepala terkenal sejak sekian lama, misalnya dalam masyarakat pantai timur, kebanyakan kaum lelaki dan perempuan menggunakan semutar dan kain kelubung untuk menutup kepala daripada sinaran matahari dan hujan serta dipraktikkan hingga kini.

“Pameran hari ini (semalam) menampilkan koleksi hiasan kepala bermula daripada tradisional iaitu dipakai sebagai identiti atau kegunaan ibadah serta kepercayaan, hinggalah ke pelengkap pakaian harian, adat budaya, seni persembahan seperti makyung, menora, dikir barat.

“Tidak dilupakan koleksi mengikut perkembangan fesyen kini turut dipamerkan. Maklumat dalam pameran ini jarang didapati di satu tempat kerana biasanya kisah bahan pameran ini diceritakan secara berasingan kepada masyarakat. Justeru, saya berterima kasih kepada pihak MTN dan Jabatan Muzium Malaysia (JMM) atas penganjuran pameran amat signifikan ini,” katanya ketika merasmikan pameran itu di MTN, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Datuk Abdul Ghaffar Tambi dan Kurator Kanan MTN Rosidah Abdullah.

Mas Ermieyati berkata, bukan sahaja memperkenalkan cara hidup masyarakat, pameran itu juga mampu meningkatkan pemahaman terhadap agama, budaya dan adat istiadat mahupun seni dan warisan negara.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada Bremem Wong dari Sabah, satu-satunya pereka yang mengambil inisiatif menghasilkan hiasan kepala menggunakan pelbagai bahan, eksklusif dan moden,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 7:37 AM
MAS Ermieyati (tengah) pada perasmian Pameran Hiasan Kepala di Muzium Tekstil Negara.
MAS Ermieyati (tengah) pada perasmian Pameran Hiasan Kepala di Muzium Tekstil Negara.