GALERI Evolusi Kraf mengiktiraf pereka Kraftangan Malaysia.
GALERI Evolusi Kraf mengiktiraf pereka Kraftangan Malaysia.
Nor ‚Asyikin Mat Hayin

PEMBUKAAN Galeri Evolusi Kraf dan pembukaan semula Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri di Kompleks Kraf Langkawi, pada 22 Julai lalu.

Nancy berkata, pembukaan dua komponen ini selari Dasar Kebudayaan Negara (Daken) 2021; Pemeliharaan dan Pemuliharaan Warisan Budaya, juga Teras Keempat iaitu Pembangunan dan Pengembangan Budaya yang bermatlamat melestarikan kebudayaan melalui agenda pemeliharaan, pemuliharaan serta perlindungan khazanah warisan negara.

Menurutnya, Kraftangan Malaysia berjaya mengadaptasi teras ini dengan memberi tumpuan kepada usaha memelihara dan memperkukuh pengekalan seni kraf.

"Ini bagi mengelakkan kepupusan dan menjadikan kraf warisan sebagai khazanah bernilai tinggi serta warisan lestari.

"Di samping itu, pembukaan Galeri Evolusi Kraf dan pembukaan semula Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan ini menjadi pendekatan diyakini mampu mengangkat martabat budaya warisan.

"Atas dasar pendidikan, usaha ini juga mampu memupuk dan menyemai rasa menghargai nilai kesenian serta estetika peradaban masyarakat di Malaysia," katanya.

NANCY menurunkan tandatangan pada plak perasmian Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan di Kompleks Kraf Langkawi.
NANCY menurunkan tandatangan pada plak perasmian Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan di Kompleks Kraf Langkawi.

Nancy berkata, Galeri Evolusi Kraf menunjukkan manifestasi perkembangan reka bentuk produk kraf Malaysia daripada 1980-an hingga 2020 yang memenuhi dua tujuan iaitu hiasan dan fungsi.

"Pembukaan galeri ini juga sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada pereka Kraftangan Malaysia yang banyak membantu komuniti kraf melalui interpretasi olahan bentuk, reka corak serta motif dalam membangunkan reka bentuk produk kraf baharu.

"Sebanyak 249 reka bentuk produk kraf Malaysia dipamerkan dengan pembabitan seramai 72 pereka Kraftangan Malaysia.

"Ada empat bidang hasil kraf dipamerkan di galeri ini iaitu tekstil, hasil rimba, hasil tanah dan hasil logam," katanya.

Dalam pada itu Nancy berkata, pembukaan semula Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan pula akan menggalakkan generasi muda khususnya untuk mempelajari budaya tradisi bangsa bagi memupuk rasa kecintaan terhadap amalan kepercayaan dan adat generasi terdahulu.

"Kesedaran mengenai perwarisan budaya ini perlu dipupuk untuk kelangsungan pembudayaan adat dan istiadat perkahwinan sesuatu bangsa supaya kekal terpelihara daripada satu generasi ke generasi seterusnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia 'Ainu Sham Ramli berkata, produk kraf berkait rapat dengan kehidupan, keperluan hingga kepada adat istiadat.

Menurutnya, Kraftangan Malaysia mengambil usaha menaik taraf dan membuka semula Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan di Kompleks Kraf Langkawi yang mengetengahkan 615 koleksi kraf.

MODEL memperagakan pakaian pengantin Melayu Perak.
MODEL memperagakan pakaian pengantin Melayu Perak.

"Semua koleksi ini dipamerkan menerusi sembilan manifestasi perkahwinan di Malaysia seperti Diorama Adat Meminang, Adat Pertunangan, Adat Persandingan dan Adat Nasi Temuan Melayu Perak.

"Koleksi lain ialah Evolusi Hantaran Perkahwinan Melayu, Perkahwinan Cina, Perkahwinan India, Perkahwinan Kadazan-Dusun dan Perkahwinan Iban," katanya.

Manakala, Pengarah Seksyen Pemuliharaan Kraf, Kraftangan Malaysia, Nurlaili Mohamad Mohed berkata, fokus pameran kali ini ialah adat istiadat dan perkahwinan masyarakat Melayu Perak kerana ia (adat istiadat dan perkahwinan Melayu Perak) mengetengahkan keunikan seni kraf tekat.

"Secara tradisinya masyarakat Melayu Perak menggunakan seni kraf tekat benang emas atau perak dalam adat istiadat dan perkahwinan mereka seperti busana pengantin, set pelaminan, set bilik tidur, aksesori dan hantaran perkahwinan," katanya.

Nurlaili berkata, seni tekat belum pupus kerana masih ada pembuat tekat yang aktif menyulam tekat secara tradisional menggunakan tangan.

Galeri Evolusi Kraf dan Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan di Kompleks Kraf Langkawi dibuka setiap hari bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang dan masuk percuma.

PELBAGAI rekaan pakaian, barangan perhiasan dan aksesori dipamerkan.
PELBAGAI rekaan pakaian, barangan perhiasan dan aksesori dipamerkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 7:00 AM