PESERTA QMEPWK66 tiba di sempadan Boten di Laos selepas 22 hari kembara di China dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi. FOTO Effendy Rashid.
PESERTA QMEPWK66 tiba di sempadan Boten di Laos selepas 22 hari kembara di China dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi. FOTO Effendy Rashid.
Effendy Rashid


Kuala Lumpur: Misi peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023 (QMEPWK66) untuk tiba di tanah air pada 31 Ogos hampir menjadi kenyataan.

Enam penunggang motosikal berkuasa tinggi itu kini sudah memasuki Asia Tenggara dan selamat tiba di Laos, hari ini.

Mereka tiba melalui sempadan Boten, selepas menempuh perjalanan selama 22 hari di China dengan jarak 6,900 kilometer (km).

Detik itu lebih manis apabila semua peserta disambut tiga penunggang dari Malaysia iaitu Abi Khalid Abd Sammad, Mohd Redzwean dan Wan Mohd Rodhillah.

Sepanjang pengembaraan, semua peserta berjiwa kental itu diuji menunggang dalam keadaan cuaca yang panas mencecah 44 darjah celcius di Gurun Gobi.

Selain itu, peserta menempuh perjalanan paling jauh antara Turpan ke Dunhuang (800 km), namun tidak mematahkan semangat mereka untuk menamatkan misi tepat pada masanya.

Peserta QMEPWK66 juga merasai pengalaman menunggang pada ketinggian 4,296 meter dari aras laut ketika melalui Kangding ke Daocheng di China dengan suhu 13 darjah celcius.

Mohd Farid Mohd Yusof yang pertama kali menunggang di negara tembok besar itu berkata, melalui perjalanan dengan dua cuaca berbeza adalah suatu pengalaman yang sangat unik.

"Selain itu, perjalanan 'route 318' di Sichuan adalah suatu pengalaman menarik apabila kami perlu melalui pergunungan dengan jalan yang berselekoh pada ketinggian melebihi Gunung Kinabalu di Sabah," katanya.

Sebelum itu, konvoi peserta dilepaskan oleh Naib Konsul Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Rohaya Ayob di hadapan bangunan konsulat dan peserta berjaya keluar dari China melalui sempadan Laos mengikut jadual ditetapkan.

Ekspedisi patriotik QMEPWK66 bermula 20 Jun lalu membabitkan perjalanan selama 66 hari merentasi 16 negara, pada jarak lebih 22,000km.

Peserta dijadual tiba di Putrajaya pada Hari Kemerdekaan negara, 31 Ogos ini.

QMEPWK66 dianjurkan Global Bike Explorer Sdn Bhd, manakala Quantum Metal Sdn Bhd bertindak sebagai penaja utama, sementara GB13, KMF Network serta Bullion Suceess Group adalah penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2023 @ 9:36 PM