PESERTA QMEPWK66 ketika di Overhanging Great Wall of China, Jiayuguan, China. FOTO Effendy Rashid
PESERTA QMEPWK66 ketika di Overhanging Great Wall of China, Jiayuguan, China. FOTO Effendy Rashid
Effendy Rashid


Kuala Lumpur: Menunggang dalam keadaan cuaca panas mencecah 49 darjah celcius di Gurun Gobi tidak mematahkan semangat peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023 (QMEPWK66) untuk meneruskan perjalanan merentasi negara China.

Keenam-enam penunggang QMEPWK66, kini sudah 14 hari 'berkampung' di China dan bakal meneruskan perjalanan melalui sempadan Laos.

China menjadi negara paling lama dijelajahi mereka sebelum dijadual memasuki negara ASEAN, minggu depan.

Sebelum ini, mereka semua menempuh perjalanan paling jauh antara Turpan ke Dunhuang sejauh 800 kilometer (km), sebelum berada di Chengdu, China.

Mengikut jadual perjalanan, peserta QMEPWK66 akan keluar dari China pada 22 Ogos ini melalui sempadan Laos.

Bermula 20 Jun lalu, semua peserta yang menunggang dari London memulakan ekspedisi menuju ke tanah air yang perjalanannya dijangka mengambil masa selama 66 hari.

Semua peserta akan merentasi 16 negara, meliputi perjalanan sejauh lebih 22,000 km sebelum dijadual tiba di Putrajaya pada 31 Ogos nanti untuk menyertai sambutan Hari Kemerdekaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 10:59 AM