Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Paras air sungai yang cetek sehingga paras lutut di sekitar Pulau Duyong di sini, memberi rezeki berganda kepada orang ramai untuk mencari etak.

Malah 'kehadiran' luar biasa etak atau nama saintifiknya Corbicula fluminea itu menyaksikan ratusan penduduk membanjiri kawasan berkenaan pada setiap hari untuk mencari haiwan bercengkerang spesies kepah terbabit yang hanya terdapat di air tawar.

Tinjauan Harian Metro di Kampung Hujung Tanjung, Pulau Duyong mendapati kawasan berkenaan bagaikan pesta sejak tiga minggu lalu yang bukan sahaja dikunjungi penduduk setempat, malah juga dari luar daerah untuk mencari etak bersaiz duit syiling sepuluh dan lima sen itu.

Lebih menarik pelbagai kaedah digunakan penduduk mengikut kreativiti masing-masing bagi mencari etak termasuk menggunakan penutup kipas, bakul basikal dan alat yang direka khas bagi memudahkan mereka mengaut etak di dasar sungai.

ORANG ramai mencari etak di dasar sungai Kampung Hujung Tanjung, Pulau Duyong. FOTO Malik Muhamad
ORANG ramai mencari etak di dasar sungai Kampung Hujung Tanjung, Pulau Duyong. FOTO Malik Muhamad

Mohd Roma Ali, 52, berkata, dia teruja kerana mampu mengaut etak dengan jumlah yang lebih banyak pada bulan ini berbanding sebelumnya.

Malah, dia yang menjadikan tugas mencari etak sebagai pekerjaan utama kini mampu mengaut makanan itu sehingga 50 kilogram (kg) sehari sebelum dijual kepada penduduk setempat dan penggemar.

"Etak sentiasa ada di dasar sungai di Kampung Hujung Tanjung tetapi bermula akhir Julai hingga bulan kemerdekaan ini, ia semakin banyak dan begitu luar biasa.

"Kebiasaannya saya dapat antara 20kg sehari selama dua jam mencari pada bulan lain tetapi pada kali ini, etak semakin banyak dan saya mampu mengaut lebih 50kg sehari selama dua jam bermula jam 5 petang hingga 7 malam.

"Air sungai yang surut antara faktor membantu kami mendapat lebih banyak etak.

"Saya membuat sendiri sejenis alat untuk mengaut etak, ada juga yang menggunakan penutup kipas dan bakul, terpulang kepada mereka.

"Sebaik naik ke darat, isteri saya, Sakinah Kamaluddin dan anak, Afifi akan menjualnya kepada penggemar etak dengan harga antara RM5 hingga RM6 sekilogram mengikut saiz," katanya ketika ditemui di kampung itu, kelmarin.

MOHD Roma menunjukkan etak yang dikaut di Kampung Hujung Tanjung, Pulau Duyong. FOTO Malik Muhamad
MOHD Roma menunjukkan etak yang dikaut di Kampung Hujung Tanjung, Pulau Duyong. FOTO Malik Muhamad

Bagi Mohd Fahmi Amran, 24, dia mampu mendapat etak sebanyak 25kg sehari selama dua jam mencari bermula selepas waktu Asar.

"Etak ada sepanjang tahun tetapi dalam jumlah yang sedikit.

"Pada tahun ini, etak begitu banyak. Terakhir pada 2015, etak banyak didapati di sungai ini.

"Saya bersama lebih 100 pencari hanya berjalan kaki mengaut etak dengan menggunakan sejenis alat memandangkan air sungai cetek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 7:02 AM