Zaid Salim


Kuala Terengganu: "Keadaan mayat arwah biasa sahaja, tidak ada kesan terbakar," kata Noroshanita Mohd Rani.

Noroshanita, 36, adalah adik kepada Mohd Hasan, 38, yang maut dipanah petir ketika memikat burung di kawasan padang berdekatan Masjid Padang Tanjung, Bukit Payong, Marang pada 6 petang, semalam.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas diberitahu penduduk ketika bersama keluarga di rumah mereka pada 7 malam.

Katanya, dia kemudiannya ke lokasi kejadian yang terletak tidak jauh dari rumahnya sebelum sayu melihat tubuh abangnya terbujur kaku dan diselimut di atas padang.

Menurut Noroshanita, abangnya itu adalah anak ketiga daripada lapan beradik dan bekerja sebagai buruh binaan baru tiga bulan berjinak hobi memikat burung.

Katanya, arwah abang seorang yang peramah dan menjadi tunjang keluarga berikutan keadaan bapanya, Mohd Rani Ismail, 71, yang sudah uzur.

"Arwah abangnya 'pergi' tanpa menunjukkan sebarang tanda atau perkara pelik," kata ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

NOROSHANITA meratapi abanya,  Mohd Hasan yang terbujur selepas dipanah petir ketika memikat burung di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payung, Marang. FOTO ihsan Pembaca
NOROSHANITA meratapi abanya, Mohd Hasan yang terbujur selepas dipanah petir ketika memikat burung di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payung, Marang. FOTO ihsan Pembaca

Jenazah Allahyarham Mohd Hasan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Tanjung di sini, selepas solat Jumaat.

Dalam kejadian itu, Mohd Hasan bersama dua rakan, Mohamad Fadilah Jusoh, 37, dari Kampung Gemuroh dan Abdul Hisyam Muhamad dari Kampung.Paya Resak, Bukit Payung, Marang, keluar memikat burung di kawasan padang kampung berkenaan.

Mangsa bersama dua rakan itu dikatakan berlindung di bawah pokok sebelum terkena dipanah petir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 12:52 PM