Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Cuaca panas bermula Februari lalu membuatkan Sungai Terengganu menjadi tumpuan orang ramai melakukan aktiviti air termasuk mengutip etak untuk dijadikan hidangan.

Tradisi mencari etak sebelum ini menjadi aktiviti tahunan penduduk berhampiran Sungai Terengganu termasuk di Kampung Pulau Manis Serada di sini, setiap kali berakhirnya musim tengkujuh namun ia semakin dilupakan seiring peredaran zaman.

Tinjauan di Kampung Pulau Manis Serada mendapati kawasan berkenaan umpama pesta selepas menjadi tumpuan ramai yang mahu merasai sendiri pengalaman mengutip etak itu.

Kebanyakan penduduk datang bersama keluarga untuk menangkap etak menggunakan peralatan seperti jaring dan sangkar buatan sendiri yang menggunakan penutup kipas.

Dalam aktiviti selama tiga jam itu, kira-kira 80 kilogram etak berjaya dikutip 30 penduduk termasuk dari daerah Kuala Nerus dan Marang.

Penduduk Kampung Pulau Manis Serada, Mohd Che Embong, 62, berkata, aktiviti mengutip etak biasanya dilakukan ketika waktu surut bermula Februari hingga Jun.

"Sebenarnya sudah lama aktiviti ini tidak dilakukan di kampung ini dan kita buat tahun ini kerana mahu mengimbau kenangan selain mahu generasi muda merasai sendiri aktiviti ini.

"Mungkin ada generasi muda yang tidak tahu dan tidak pernah merasai sendiri pengalaman mengutip etak," katanya.

Bagi Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Borhanudin Mohd Yusof@Mohamed, 42, berkata, dia bersama isteri dan anaknya teruja mencuba aktiviti mengutip etak yang disifatkan satu pengalaman baharu yang menarik.

"Sebelum ini, memang tidak pernah kutip atau makan etak ini namun bila tahu aktiviti ini boleh dilakukan di sungai ini, kami datang untuk merasai sendiri.

"Selain pengalaman mengutip etak itu sendiri, saya kagum dengan keindahan sungai yang masih terpelihara dan memang sesuai untuk melakukan aktiviti ini bersama keluarga," katanya.

Orang ramai mengambil peluang mencari Etak di pesisir Sungai Kampung Pulau Manis, Serada selepas paras air sungai berkenaan semakin cetek akibat cuaca panas berpanjangan sejak bulan lalu. FOTO GHAZALI KORI
Orang ramai mengambil peluang mencari Etak di pesisir Sungai Kampung Pulau Manis, Serada selepas paras air sungai berkenaan semakin cetek akibat cuaca panas berpanjangan sejak bulan lalu. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 4:37 PM