SITI Zubaidah (bertudung oren) bersama ahli keluarga di Unit Forensik Hospital Tanah Merah menunggu jenazah (gambar kiri duduk) anaknya. FOTO Siti Rohana Idris
SITI Zubaidah (bertudung oren) bersama ahli keluarga di Unit Forensik Hospital Tanah Merah menunggu jenazah (gambar kiri duduk) anaknya. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Keghairahan mencari etak di sungai bertukar menjadi tragedi apabila dua beradik ditemukan lemas.

Dalam kejadian 11 pagi tadi, Mohd Fauzi Mohd Yaacob, 29 dan adiknya, Mohd Shah Iskandar, 10, tergelincir di dasar agak dalam di sungai itu sebelum lemas.

Siti Zubaidah Marikan Yassin, 45, berkata, dia bersama suami, Mohd Yaacob Mat Jusoh, 63, dan anak tirinya, Mohd Fauzi serta anak bongsu Mohd Shah Iskandar ke sungai itu 8.30 pagi lagi untuk mengutip etak.

"Anak tiri (Mohd Fauzi) sangat teruja untuk mencari etak pagi tadi dan walaupun hasilnya sudah mencukupi untuk juadah kami sekeluarga, Fauzi enggan lagi pulang malah memberitahu ingin mengutip lebih banyak.

"Dia ketika itu berada bersama Mohd Shah manakala saya serta suami hanya berjarak beberapa meter sahaja daripada mereka dan kami semua leka mengutip etak.

"Tiba-tiba saya terdengar Mohd Shah menjerit memanggil 'umi..tolong umi' dan sebaik berpaling saya ternampak dua Fauzi juga sudah tenggelam timbul dipercayai cuba menyelamatkan adiknya yang sudah tenggelam," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini, hari ini.

Siti Zubaidah berkata, dia dan suami ingin menyelamatkan dua beradik itu namun mereka juga nyaris lemas dan sudah terminum banyak air sebelum diselamatkan orang awam yang turut mengutip etak di kawasan terbabit.

Katanya, dalam keadaan tenggelam timbul dia masih lagi menyebut nama kedua anaknya terutama Mohd Shah dan tawakal jika dia turut terkorban.

"Mujurlah saya dan suami berjaya diselamatkan orang awam dan sebaik diletakkan di tebing, perasaan saya sangat pilu terbayangkan keadaan dua beradik itu ketika lemas.

"Kami tidak dapat berbuat apa-apa selain menunggu pihak berkuasa tiba dan tidak lama kemudian kedua-dua beradik itu ditemui tidak jauh dari lokasi terakhir mereka dilihat tenggelam," katanya.

Siti Zubaidah berkata, menu berasaskan etak memang menjadi kegemaran mereka sekeluarga dan sudah kerap ke sungai itu untuk mencari hasil kerang-kerangan malah Mohd Shah sanggup ponteng sekolah hari ini semata-mata untuk tujuan itu.

Katanya, walaupun dua beradik itu berlainan ibu, mereka sangat rapat dan dilihat agak teruja ketika mengutip etak pagi tadi malah berasa selamat kerana keduanya pandai berenang.

"Patutlah Fauzi berkata dia ingin mencari etak sepuas hati hari ini kerana selepas ini mungkin tidak berpeluang lagi untuk makan, rupa-rupanya ini adalah petunjuk mereka meninggalkan kami," katanya sambil memberitahu dia dan suami tidak mungkin lagi akan kembali ke sungai itu selepas ini.

Jenazah Mohd Fauzi dan Mohd Shah Iskandar dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chenok, Pasir Mas, dekat sini tengah malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 8:49 PM