Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Keadaan air cetek yang berlaku di beberapa kawasan sepanjang Sungai Golok, di sini, memberi rezeki kepada orang ramai untuk mencari etak.

Tinjauan di sepanjang Sungai Golok hari ini, mendapati orang ramai mula berpusu-pusu ke sungai pada jam 9 pagi dan dimaklumkan akan bertambah ramai pada sebelah petang.

Nurul Ain Ab Hamid, 32, mengakui sanggup meredah perjalanan hampir 80 kilometer pergi dan balik dari Ketereh, Kota Bharu ke Sungai Golok, di sini, bagi merasai sendiri pengalaman mencari etak sambil mandi manda.

"Saya mengetahui tentang tempat ini melalui laman Facebook yang dikongsikan oleh seorang sahabat yang juga penduduk tempatan di sini. Saya tertarik melihat orang yang ramai dan terus mengajak suami, Abdul Rahim Yusoff, 33 turut sama merasai pengalaman mencari etak.

"Selain itu, saya turut membawa empat anak berusia lima sehingga 10 tahun yang baru pertama kali melalui pengalaman sebegini. Anak teruja, tambahan pula keadaan dilihat selamat kerana air yang cetek.

"Kami sekeluarga siap membawa bekalan makanan dan minuman untuk berkelah sambil mencari etak yang mana hasilnya hanyalah untuk dijadikan juadah di rumah sahaja," katanya ketika ditemui di Sungai Golok berdekatan Kampung Lubok Gong, di sini, hari ini.

NURUL Ain menunjukkan etak yang diperolehinya ketika mencari bersama keluarganya di sepanjang Sungai Golok berdekatan Kampung Lubok Gong, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NURUL Ain menunjukkan etak yang diperolehinya ketika mencari bersama keluarganya di sepanjang Sungai Golok berdekatan Kampung Lubok Gong, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Orang ramai menggunakan kreativiti masing-masing untuk mendapatkan etak di dasar sungai termasuk mengguna pakai penutup kipas, bakul motosikal dan penapis santan.

Sementara itu, Syed Mohd Azizuddin Syed Omar, 37, pula memperoleh empat kilogram etak dalam tempoh dua jam untuk dijadikan juadah dan selebihnya dijual kepada penduduk kampung.

"Sungai Golok ini terletak hanya di belakang rumah saya, sekali gus memudahkan kami sekeluarga untuk turut sama ke sungai mencari etak.

"Etak dijual pada harga RM5 sekilogram dan biasanya ia sedap untuk dimasak lemak, disalai atau direbus begitu sahaja. Ada antara kumpulan yang datang ke sini terus merebus etak yang diperoleh dan menjamahnya beramai-ramai.

"Dulu, hanya orang tempatan sahaja memenuhi sungai ini jika kemarau melanda, namun kini ramai yang datang dari seluruh Kelantan kerana ia mula menjadi viral melalui laman sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 12:40 PM