MOHAMAD Zabawi mempromosikan Showtech Mardi 2023 yang bermula 25 Ogos ini. FOTO Ihsan Mardi
MOHAMAD Zabawi mempromosikan Showtech Mardi 2023 yang bermula 25 Ogos ini. FOTO Ihsan Mardi
Redzuan Muharam


Serdang: Dianggarkan 500,000 pengunjung dijangka memeriahkan program Showtech Mardi 2023 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 25 Ogos di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Datuk Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, Showtech Mardi 2023 dianjurkan dengan tema Peneraju Inovasi Agromakanan.

Menurutnya, inisiatif itu bertepatan dengan peranan Mardi dalam menghasilkan teknologi dan inovasi pertanian untuk merancakkan sektor pertanian serta agromakanan negara.

"Elemen utama adalah pameran yang akan memberi fokus kepada enam kluster utama bidang penyelidikan iaitu tanaman, ternakan, makanan, pemindahan teknologi, agro pelancongan dan mekanisasi.

"Pameran ini adalah platform untuk mempamer dan menghebahkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan Mardi sejak 50 tahun lalu kepada masyarakat dan pemain industri.

"Tujuannya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai teknologi dan inovasi yang dihasilkan serta sumbangan Mardi kepada pembangunan sektor pertanian juga keterjaminan makanan negara.

"Program itu membabitkan perkongsian maklumat dua hala antara orang awam, pemain industri dan pemegang taruh bagi menambah baik aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penghasilan teknologi Mardi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zabawi berkata, tarikan utama program in adalah aktiviti di Dewan A MAEPS yang menyediakan pameran dan demonstrasi 300 teknologi sedia dikomersial dan dipindahkan kepada industri, seminar dan tech-talk teknologi, padanan perniagaan, klinik tanaman serta klinik usahawan.

"Selain pameran di dalam dewan, penganjur juga akan membawa pengunjung ke kilang tanaman, laman kelulut, laman sayuran, laman herba serta kawasan plot tanaman seperti jagung, bawang serta kubis bulat.

"Pihak penganjur turut menyediakan aktiviti santai kepada pengunjung seperti Planet Vintage, jualan produk usahawan, belon udara panas, pesta durian, karnival makanan, Fun Ride Explore Race dan Khobek Festival.

"Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah disamping menyaksikan penampilan istimewa selebriti terkenal seperti Nabil Ahmad, Bella Astilah, Teh Syuhaida serta pasangan suami isteri yang dikenali sebagai Durian Kimchi, Ryzal Ibrahim dan Maryam Younare," katanya.

Program bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 5:38 PM