SEGALANYA Wanita slogan MAHA 2018.
SEGALANYA Wanita slogan MAHA 2018.
Mohamad Hussin


Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) yang bakal diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, pada 22 November hingga 2 Disember depan adalah platform untuk memperkasakan usahawan wanita selain menonjolkan golongan berkenaan dalam industri agromakanan negara.

Acara dua tahun sekali anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan mengekalkan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita.'

Bagaimanapun kali ini, ia akan menampilkan pembaharuan dengan konsep wanita dan membawa slogan 'Segalanya Wanita.'

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bagi merealisasikan konsep ini, MAHA 2018 menyasarkan pembabitan 50 peratus golongan wanita dan akan turut menonjolkan beberapa orang ikon usahawan wanita sebagai inspirasi.

"Selain itu, Dewan A MAEPS Serdang yang berkeluasan 40,000 kaki persegi turut direncanakan untuk aktiviti, pameran dan jualan produk yang berkaitan dengan segenap dimensi kehidupan wanita.

"MOA menetapkan sasaran jualan sebanyak RM500 juta dan lebih daripada 3.5 juta pengunjung akan mengunjungi MAHA 2018 selain 30 peratus pembabitan golongan belia.

"Acara ini akan memaparkan pengisian dalam pelbagai aspek agromakanan termasuk tanaman, ternakan, perikanan, teknologi, pelancongan agro, perdagangan, kulinari dan pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pra pelancaran MAHA 2018 di MAEPS, Serdang, baru-baru ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Nogeh Anak Gumbek.

AHMAD Shabery bergambar bersama rakan penaja.
AHMAD Shabery bergambar bersama rakan penaja.

Ahmad Shabery berkata, antara tarikan MAHA adalah jualan bahan pertanian dan makanan seperti juadah popular dari seluruh negeri, produk industri asas tani (IAT), buah-buahan, sayuran segar, anak pokok, bunga-bungaan serta ikan dan makanan laut segar.

"Sebanyak 13 pavilion negeri akan dibuka di mana ia akan menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan negeri yang boleh dinikmati pengunjung.

"Seperti MAHA yang lalu, semua laman seperti laman perikanan, laman nanas, laman ternakan dan sebagainya akan turut membuat penampilan semula bagi pengunjung menikmati sendiri pengalaman pertanian secara "hands-on".

"Tempahan untuk gerai jualan telah dibuka dan hingga kini, 30 peratus daripada 1,500 gerai jualan yang ditawarkan dilanggani," katanya.

Menurutnya, MAHA 2018 berjaya mendapat sokongan 11 penaja dan rakan strategik antaranya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Agrobank dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

"MAHA 2016 lalu, ia menempa kejayaan yang membanggakan dengan jumlah pengunjung melebihi 3.7 juta orang serta perjanjian jualan melebihi RM400 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 11:04 AM