Amir Abd Hamid

Serdang: Sektor swasta di negara ini diseru bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dalam mengembangkan teknologi moden sekali gus membantu kumpulan sasar dalam kalangan petani dan pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, teknologi hasil penyelidikan Mardi itu seperti teknologi kilang tanaman, pertanian pintar, penggunaan dron dan teknologi 5G.

Beliau berkata, teknologi baharu berpotensi diketengahkan kepada petani, pengusaha ladang dan makanan seterusnya meningkatkan kualiti hasil di negara ini.

"Kejuruteraan pertanian adalah bidang penting dalam industri agro-makanan.

"Ia mengupas dan menterjemahkan aplikasi teknologi yang terkini, bukan sahaja dari segi mekanisasi tetapi termasuk Internet of Things (loT), Artificial Intelligence (AI) dan sebagainya yang harus bergerak seiring dengan perkembangan industri agro-makanan keseluruhannya," katanya.

DR Ronald Kiandee (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid (dua dari kiri), Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor (kiri), Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE), Prof. Dr. Rosnah Shamsudin (dua dari kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa NAFEC 2021, Dr. Azman Hamzah melancarkan dua buku terbitan MARDI, Teknologi Kejuruteraan Agromakanan MARDI dan Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE), Advances In Agricultural & Food Research Journal pada Konvensyen Kejuruteraan Makanan dan Pertanian Kebangsaan 2021 (NAFEC 2021) di Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) Serdang. FOTO Aizuddin Saad

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian Dan Makanan (NAFEC 2021) dan pelancaran dua buku Kejuruteraan Makanan di Ibu Pejabat Mardi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Mafi merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi, Datuk Haslina Abdul Hamid; Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Presiden Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) Profesor Dr Rosnah Shamsudin.

Sebagai contoh, Ronald Kiandee berkata, penganjuran konvensyen kerjasama MSAE itu boleh diterjemahkan dalam aplikasi dan pengolahan teknologi baharu untuk industri berkaitan.

Ini katanya, termasuk penggubalan dasar dan sebagainya hasil daripada dapatan dibuat dalam konvensyen seumpamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mac 2021 @ 1:45 PM