LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Kejadian runtuhan tanah di sebuah tapak pembinaan dekat Jalan Taman Ros, Serendah, di sini hari ini hingga mengorbankan nyawa seorang pekerja warga Indonesia disebabkan struktur tanah yang lembut.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, ia berpunca daripada cuaca hujan yang kerap hampir setiap hari.

Beliau berkata, terdahulu polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.31 pagi.

"Siasatan awal mendapati lelaki berumur 28 tahun dipercayai berada di tempat kejadian untuk berjumpa rakannya bagi mencari pekerjaan sebelum kejadian berlaku.

"Pada masa sama, tinjauan di lokasi mendapati mangsa tertimbus di dalam tanah yang berkedalaman sehingga empat meter," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, mangsa berjaya dibawa keluar anggota bomba dengan bantuan pekerja tapak pembinaan namun disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Serendah.

"Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB) untuk tindakan lanjut.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 7:19 PM