Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Suasana hujan mengiringi pengebumian jenazah Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi yang meninggal dunia dalam nahas pesawat ringan terhempas di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Jenazah Mohamad Naim, 35, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, di sini, hari ini, selepas solat Zohor sebaik van yang membawa jenazahnya tiba di perkarangan tanah perkuburan, 1.15 tengah hari tadi.

Dianggarkan 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan rakan mangsa turut berada di tanah perkuburan terbabit.

Terdahulu, jenazah Mohamad Naim serta lapan lagi mangsa diuruskan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pagi tadi, sebelum dibawa ke Masjid Al-Rahimiah, Klang, bagi disolatkan.

Sebelum ini, Harian melaporkan 10 individu terkorban dalam nahas berkenaan membabitkan dua kru pesawat, enam penumpang dan dua orang awam.

Mangsa dikenal pasti adalah juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Enam penumpang pula adalah Mohamad Naim, Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Datuk Seri Johari Harun; Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Orang awam masing-masing pemandu kenderaan e-hailing, Sharipuddin Shaari dan penunggang motosikal yang juga penghantar makanan, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 3:16 PM