WAI Ching ketika beraksi di Larian Menara Komtar pada Mac lalu.
WAI Ching ketika beraksi di Larian Menara Komtar pada Mac lalu.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Larian Menara Naza, yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada 19 Mei ini, bakal diserikan dengan kehadiran jaguh larian menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching.

Atlet berusia 30 tahun pasti ingin mengekalkan rentak kemenangannya selepas baharu saja dinobatkan selaku juara dunia di Taiwan, yang menyaksikan dia menawan puncak Menara Taipei 101 dengan catatan masa 18 minit dan 36.62 saat.

Namun, tujuan Wai Ching menyertai Larian Menara Naza bukanlah semata-mata demi menambah koleksi kejuaraannya, tetapi lebih kepada niatnya untuk mempopularkan sukan mendaki tangga itu.

Wai Ching berkata, dia teruja untuk menawan Menara Naza buat kali pertama.

"Ini kali pertama saya beraksi di Menara Naza, jadi memang ada rasa girang setiap kali berlumba di venue baharu.

"Saya sentiasa 'mewajibkan' diri untuk mengambil bahagian dalam seberapa banyak pertandingan yang dianjurkan di Malaysia.

"Ini kerana saya menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan gelaran di laman sendiri daripada dimenangi oleh pesaing luar negara," kata Wai Ching.

Larian Menara Naza yang dianjurkan oleh Hybrid Management Sdn Bhd, adalah perlumbaan yang mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Larian Menara Malaysia.

Dengan ketinggian bangunan 190 meter, Menara Naza menampilkan cabaran pendakian 49 aras dengan 1,139 anak tangga.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita (18-44) serta Veteran Lelaki dan Wanita (45 dan ke atas).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 7:34 PM