Datuk Onn Hafiz Ghazi. FOTO Arkib NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Datuk Onn Hafiz Ghazi. FOTO Arkib NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor mengutuk sekeras-kerasnya dan sentiasa memandang serius beberapa insiden yang menimpa pemain bola sepak negara termasuk Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim, kebelakangan ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan isu yang menggugat keharmonian dan keselamatan di Johor.

Namun katanya, sebagai penyokong pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), beliau berasa terkilan dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih yang sepatutnya berlangsung esok.

"Meskipun (aspek keselamatan) sudah mendapat jaminan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

"Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor juga bersetuju untuk mengerahkan 1,500 anggota polis untuk memantau aspek keselamatan pada perlawanan berkenaan.

"Saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pasukan JDT diatas kesediaan, komitmen dan profesionalisme yang ditunjukkan untuk tetap meneruskan perlawanan yang dijadualkan berbekalkan keyakinan jaminan diberikan PDRM, bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong menjadi keutamaan.

"Semoga penyokong JDT tidak berputus asa dan tetap menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta mengekalkan profesionalisme dalam memberikan sokongan penuh kepada pasukan dalam setiap perlawanan-perlawanan yang akan datang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Badan penganjur liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan aksi Piala Sumbangsih dan perlawanan pertama Liga Super antara JDT dengan Selangor FC yang dijadualkan esok di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di sini, dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 7:57 PM