GAMBAR fail, Ahmad Zahid. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Ahmad Zahid. FOTO NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan masih menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status representasi yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menggugurkan rayuan dalam 40 kes tuduhan rasuah berhubung Visa Luar Negara (VLN).

Rayuan pendakwaan itu adalah keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 tuduhan itu pada September tahun lalu.

Peguam Aiman Abdul Rahman yang mewakili Ahmad Zahid berkata, pihak pembelaan memasukkan representasi berhubung status rayuan pendakwaan dan setakat ini pihaknya masih belum menerima arahan lanjut.

"Mereka (pendakwaan) memerlukan lebih masa dan Mahkamah Rayuan menetapkan pada 18 September ini bagi pengurusan kes," katanya selepas prosiding pengurusan rayuan berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Dalam prosiding secara dalam talian itu turut disertai Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan Zander Lim Wai Keong.

Dalam petisyen rayuan yang dikemukakan itu, pendakwaan menyenaraikan 14 alasan mengapa Mahkamah Rayuan perlu membatalkan pembebasan Ahmad Zahid itu dan mengarahkannya untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Pada 23 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan supaya Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hakim Mohd Yazid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan,

Dengan itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Mengikut pertuduhan utama, Ahmad Zahid, 70, didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Suapan itu bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Selain itu Ahmad Zahid juga atas tujuh lagi pertuduhan memperoleh untuk dirinya SGD$1,150,000 (RM3,931,978.28), RM3.125 juta, 15,000 Swiss Franc (RM78,491.25) dan AS$15,000 (RM68,322.77) daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights, Kajang pada Oktober 2014 dan Mac 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 6:22 PM