Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berlapang dada dengan keputusan PAS yang tidak mencalonkan beliau untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.

Bekas Ahli Parlimen Bachok itu bagaimanapun berazam akan terus membantu parti menerusi pelbagai cara sepanjang tempoh berkempen nanti bagi memastikan Kelantan terus ditadbir oleh PAS.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas berhubung dua kerusi yang ditawarkan kepadanya, sebaliknya meminta pihak media bertanyakan kepada pucuk pimpinan parti.

"Kisahnya begini, minta tulis elok-elok ye, ketika saya mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini, saya mengatakan hasrat kepada beliau sekiranya parti mahu saya bertanding, saya memohon untuk bertanding di tempat yang tidak mengganggu tugas pertama saya iaitu di Pulau Melaka.

"Ini kerana selepas Pilihan Raya Umum (PRU) saya menguruskan tapak wakaf, Mahaad Darul Anuar (MADA) peninggalan arwah bapa, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Justeru saya minta supaya tugas politik saya nanti sekiranya menang tidak menghalang saya untuk menguruskan MADA dan saya tidak memohon mana-mana kerusi khusus sebagaimana didakwa, saya hanya menyatakan hasrat berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Katanya, beliau sendiri tidak pernah terfikir untuk bertanding pada PRN bulan depan dan apabila nama tidak dicalonkan pun tidak menjadi masalah.

"Sebab itu saya tegaskan tidak bertanding pun tiada masalah kerana dan saya terima dengan hati yang terbuka.

"Namun saya akan tetap membantu jentera parti untuk berkempen bagi memastikan PAS terus mentadbir Kelantan dan berharap semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 1:03 PM