ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran bas Rapid KL di Jalan SS25/23 Kampung Chempaka, Damansara. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran bas Rapid KL di Jalan SS25/23 Kampung Chempaka, Damansara. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Orang ramai yang melalui Jalan SS25/23 Kampung Chempaka di sini, terkejut selepas sebuah bas yang sedang bergerak terbakar, hari ini.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 6.46 pagi.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dengan kekuatan enam anggota diketuai Komander Operasi, Hasnol Hadi Mohamed Roslan segera ke lokasi.

"Kebakaran membabitkan bas Rapid KL tanpa penumpang dipandu seorang lelaki berusia 40-an dalam perjalanan ke susur keluar Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

"Pemandu sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulfikar berkata, pasukan berjaya mengawal kebakaran pada jam 7.05 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.18 pagi.

Katanya, bas berkenaan musnah 90 peratus dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 1:02 PM