Lori sarat dengan muatan minuman keras yang dirampas URM PPMW5 Sarawak pada  Khamis. FOTO Erika George
Lori sarat dengan muatan minuman keras yang dirampas URM PPMW5 Sarawak pada Khamis. FOTO Erika George
Erika George


Kuching: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sarawak berjaya merampas minuman keras dan rokok pelbagai jenama tanpa cukai dianggarkan bernilai RM2.3 juta, yang cuba diseludup masuk di Simpang Simunjan di Serian.

Komander PPMW5 Asisten Komisioner Zulfikar Ghazali berkata, rampasan dilakukan pasukan Unit Risikan Marin dalam Op Kontraban pada 3.30 pagi Khamis.

Katanya, pasukan itu mengesan pergerakan dua lori yang mencurigakan berhampiran simpang berkenaan dan membuat pemeriksaan, sebelum menemui 510 kotak minuman keras, 30 kotak rokok kretek dan 150 kotak rokok putih.

"Hasil semakan yang dijalankan mendapati semua barangan itu tidak bercukai kastam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulfikar berkata, operasi itu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 55 tahun yang juga pemandu lori selepas gagal menunjukkan sebarang bukti barangan bercukai.

Katanya, kedua-duanya dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

"Rampasan terbesar ini menjadi satu lagi kejayaan PPMW5 menyelesaikan kes cubaan menyeludup minuman keras dan rokok ke negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 4:18 PM