Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tiga anggota polis direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta rasuah RM3,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas seorang lelaki yang ditahan mereka 20 Julai lalu.

Tiga anggota polis yang berusia 20, 36 dan 38 itu bertugas di Balai Polis Bukit Mertajam dengan dua daripadanya berpangkat koperal manakala seorang lagi konstabel.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun membenarkan permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap semua suspek bermula hari ini sehingga 27 Julai ini.

Menurut sumber, semua suspek ditahan selepas pihaknya mendapati mereka membuat pemeriksaan ke atas seorang individu di Jalan Berapit, Mengkuang, Bukit Mertajam kira-kira jam 7.15 malam pada 20 Julai lalu.

Katanya, anggota polis mendapati cukai jalan motosikal yang ditunggangi individu berkenaan sudah tamat tempoh selain dia memiliki sebungkus air ketum serta beberapa kotak rokok tidak bercukai.

"Tiga suspek berkenaan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada individu itu sebagai balasan bagi tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukannya.

"Susulan itu, SPRM menahan ketiga-tiga anggota polis berkenaan pada jam 7.25 malam, semalam ketika mereka hadir ke pejabat SPRM Pulau Pinang, " katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan pada jam 9.05 pagi dengan berpakaian lokap diiringi pegawai SPRM.

Tiga anggota polis ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tiga hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret disyaki menerima rasuah berjumlah RM3,000 baru-baru ini. FOTO MIKAIL ONG
Tiga anggota polis ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama tiga hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret disyaki menerima rasuah berjumlah RM3,000 baru-baru ini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 11:26 AM