SUSPEK warga Nepal direman tujuh hari bermula semalam.
SUSPEK warga Nepal direman tujuh hari bermula semalam.

Batu Pahat: Mahkamah Majistret, di sini, semalam membenarkan tiga lelaki warga Nepal dan seorang rakyat tempatan yang disyaki merasuah penjawat awam direman tujuh hari, bermula semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Rosmaliana Osman bagi membolehkan siasatan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 17(b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang warga Nepal ditahan SPRM Cawangan Batu Pahat dalam serbuan di sebuah premis di Parit Jawa, Muar, petang kelmarin kerana disyaki memberi suapan bernilai RM3,000 kepada anggota polis.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di hadapan premis perniagaan jam 2.30 petang.

Tindakan itu dipercayai sebagai balasan supaya anggota terbabit tidak mengambil tindakan ke atasnya yang menjual minuman keras tanpa lesen.

Susulan tangkapan itu, SPRM Cawangan Batu Pahat bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan dua lagi warga Nepal dan seorang lelaki tempatan atas kesalahan yang sama kelmarin.

Dalam tangkapan pertama, seorang lelaki warga Nepal berusia 31 tahun ditahan kerana disyaki memberi suapan kepada pegawai JKDM Cawangan Batu Pahat berjumlah RM500 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas rakannya yang ditahan kerana menjual minuman keras tanpa lesen di sebuah premis di Jalan Rogayah di sini.

Manakala seorang lelaki warga Nepal dan seorang lelaki tempatan masing-masing berusia 38 dan 35 tahun ditahan kerana memberi suapan kepada pegawai JKDM Cawangan Batu Pahat RM3,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang menjual minuman keras tanpa lesen di Jalan Soga, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 5:02 AM