Syaherah Mustafa


Tanah Merah: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan RM9.3 juta untuk kos baik pulih dan menaik taraf sebanyak 38 klinik daif di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, projek baik pulih klinik berkenaan dapat mempertingkatkan perkhidmatan di peringkat 'primary healthcare' seterusnya membantu mengurangkan kesesakan di hospital.

Menurutnya, peruntukan itu diberikan susulan pengumuman Belanjawan 2023 untuk KKM melaksanakan inisiatif membaik pulih 400 klinik daif di seluruh negara.

"Projek menambah baik dan meningkatkan taraf kemudahan infrastuktur klinik atau hospital adalah sejajar dengan matlamat kerajaan bagi memastikan perkhidmatan fasiliti kesihatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan lebih berkesan.

"Klinik daif dipilih melalui senarai pendek yang dilakukan pihak kementerian selepas menerima data daripada pengarah negeri dan hospital," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tanah Merah (Reka&Bina) - Tender Semula di Hospital Tanah Merah (HTM), di sini, hari ini.

Lukanisman berkata, pihaknya dimaklumkan empat lagi projek fasiliti kesihatan di Kelantan yang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya negeri bakal disiapkan pada April depan.

"Antara klinik dan kuarters yang terbabit ialah Mata Ayer di Machang, Karangan serta Peria di Kuala Krai dan Sokor di jajahan Tanah Merah.

"Selain itu, Hospital Bachok juga dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2023 dan beroperasi sepenuhnya awal tahun depan," katanya.

Pengoperasian Bangunan Tambahan HTM dijangka bermula 1 Mei depan secara berfasa, selain menyediakan 12 kepakaran perubatan seperti pediatrik, psikiatri, ortopedik dan oftamologi.

Lukanisman, (tengah) menerima replika kunci simbolik. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Lukanisman, (tengah) menerima replika kunci simbolik. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 1:24 PM