DR Zaliha ketika sidang media selepas Sesi 'Town Hall' Kertas Putih Kesihatan Peringkat Zon Pantai Timur, semalam. FOTO Ghazali Kori.
DR Zaliha ketika sidang media selepas Sesi 'Town Hall' Kertas Putih Kesihatan Peringkat Zon Pantai Timur, semalam. FOTO Ghazali Kori.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan lima inisiatif dalam usaha menambah baik perkhidmatan kesihatan di Terengganu.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif itu susulan lawatan kerja beliau ke Terengganu semalam.

"Bagi tahun ini, sejumlah RM 72.5 juta diperuntukkan dibawah RMKe-12 bagi projek pembangunan baharu fasiliti kesihatan di negeri Terengganu.

"Selain itu, Klinik Kesihatan Hiliran, Kuala Terengganu bakal menerima peruntukan RM 17 juta untuk menyiapkan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar sebagai tambahan daripada peruntukan asal sebanyak RM 15 juta.

"Tiga klinik yang terkesan akibat banjir tahun akan menerima peruntukan khas sebanyak RM500, iaitu Klinik Desa Gong Tanah Merah, Klinik Desa Alor Lintah, Klinik Desa Alor Keladi," katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, Hospital Dungun yang diklasifikasi sebagai projek sakit yang juga satu projek yang menjadi perhatian KKM akan disiapkan tahun ini dan bakal memberi manfaat besar kepada warga setempat apabila beroperasi kelak.

''Terakhir, untuk tujuan baik pulih dan naik taraf, sebanyak 53 klinik daif menerima peruntukan bernilai RM 8.9 juta demi keselesaan rakyat.

"Semua inisiatif yang saya nyatakan bakal meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan negeri dan sebahagian daripada reformasi kesihatan yang menjadi tekad saya selaras dengan pembangunan Kertas Putih Kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 9:11 PM