Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Pencen dan pencen terbitan untuk pesara kerajaan bagi Julai hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu sudah dimasukkan dalam peruntukan kewangan kerajaan dan tidak membabitkan amaun tambahan.

"Implikasi kewangan RM1.3 bilion, tetapi ini sudah dimasukkan dalam peruntukan kewangan, bukan ada tambahan, kita bayar dengan elaun khas iaitu elaun Madani supaya dia (pesara) tak rugi.

"Apa yang dijanjikan oleh kerajaan, maka kita bayar elaun Madani pertimbangan atas khidmat mereka sebagai penjawat awam dahulu," katanya ketika ditemui menghadiri Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Semalam, Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan pencen dan pencen terbitan untuk pesara kerajaan bagi Julai hingga Disember 2023 dibayar menggunakan amaun pencen asal.

Ia selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu bahawa Seksyen 3 dan 7 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 [Akta A1447] adalah tidak sah dan undang-undang sebelum pindaan adalah terpakai dengan sendirinya bagi tujuan penyelarasan pencen.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata, beliau akan bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk esok.

"Ya hari Jumaat, jumpa (Elon Musk) esok," katanya ringkas ketika ditanya mengenai pertemuan berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, potensi kerjasama di antara Tesla dengan Malaysia tidak hanya terhad kepada sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV) semata-mata, malah akan turut meliputi sektor lain.

Susulan itu, beliau berkata, satu pertemuan akan berlangsung antara Perdana Menteri dengan orang nombor satu Tesla itu minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 7:04 PM