SERAMAI 195 tokan dadah ditahan polis hasil Op Tapis Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor. FOTO Ihsan Polis
SERAMAI 195 tokan dadah ditahan polis hasil Op Tapis Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor. FOTO Ihsan Polis
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Seramai 195 tokan dadah berjaya ditahan polis sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, hasil daripada Op Tapis Khas yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 43.38 peratus berbanding 136 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

"Tangkapan ke atas tokan dadah ini diambil mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

"Mereka akan dikenakan perintah tahanan dan sekatan selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan di seluruh negeri itu memfokuskan beberapa lokasi panas seperti jeti nelayan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), pot penagih dan kawasan Felda bertujuan untuk mengambil tindakan ke atas semua aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan panas berkenaan.

"Tindakan ini dapat mengurangkan aktiviti penyalahgunaan dadah dengan mengeluarkan pengedar serta penagih dadah dari kelompok masyarakat melalui tindakan pemenjaraan untuk tempoh antara lima hingga tujuh tahun," jelasnya.

Dalam tempoh yang sama itu, Kamarul Zaman berkata, seramai 23,973 orang diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 11,472 ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada seramai 10,692 lelaki dan 780 wanita berusia antara 13 hingga 70 tahun.

"Mereka yang ditahan termasuk 2,240 bagi kes bekalan, 3,912 kerana memiliki dadah dan 5,320 adalah penagih dadah," katanya.

Menurut beliau, seramai 796 orang yang ditahan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

"Terdapat 3,100 orang dikehendaki juga ditahan," katanya.

Menurut Kamarul Zaman, polis merampas heroin seberat lebih 62 kilogram (kg); syabu seberat lebih 118 kg; lebih 144 kg ganja; lebih 18 kg ketamin; 54,084 biji pil eramin 5; 3,974 biji pil yaba; 306 biji pil nospan; 20,900 biji pil ekstasi; lebih 984 kilogram daun ketum, 267 kilogram serbuk dadah, 18 kilogram 'magic mushroom' dan 16,743 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM12.43 juta dengan anggaran berat dadah sebanyak 2.94 tan.

"Bekalan dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai lebih 1.4 juta penagih dadah dan kita turut menyita harta sindiket bernilai hampir RM7.5 juta," katanya.

Pada masa sama, menurut Kamarul Zaman, pihaknya akan terus komited memerangi musuh nombor satu negara itu dalam mengekang penyeludupan dadah ke negara jiran melalui tindakan bersepadu dengan memberi tumpuan di kawasan perairan pantai yang menjadi tempat transit penyeludupan dadah ke negara jiran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 10:32 PM