NAJIB melihat sisa selepas rumah terbakar di Kampung Petani, di sini, malam tadi. FOTO Alias Abd Rani
NAJIB melihat sisa selepas rumah terbakar di Kampung Petani, di sini, malam tadi. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Suami isteri melecur ketika cuba menyelamatkan kenderaan serta haiwan peliharaan daripada rentung selepas rumah mereka terbakar di Kampung Petani, di sini, malam tadi.

Kebakaran itu menyebabkan tangan kiri Mohd Najib Yahaya, 43, dan isterinya, Habibah Md Shah, 42, melecur akibat disambar api dalam kejadian pada 11.10 malam.

Mohd Najib berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isteri baru sahaja hendak tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan.

"Ketika letupan pertama kedengaran, saya menyangka ada orang membakar sampah dan tidak lama kemudian, letupan kedua berlaku. Letupan kedua agak kuat menyebabkan saya terus membuka tingkap dan melihat api sudah menjulang.

"Saya bersama isteri bergegas keluar untuk menyelamatkan kereta dan kucing peliharaan. Ketika itulah api menyambar tangan kami hingga melecur," katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia bersyukur kerana ahli keluarganya terselamat walaupun kereta serta beberapa barangan lain rosak akibat terbakar.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram Ridwan Gembor berkata, seramai 14 anggota dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.19 malam.

Katanya, rumah terbabit musnah keseluruhan, manakala sebuah Proton Waja yang diletakkan dalam garaj terbakar kira-kira 10 peratus.

"Kedua-dua mangsa yang cedera diberi rawatan oleh petugas Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 3:33 PM