DR Zaliha ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023. FOTO Aswadi Alias
DR Zaliha ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0 & One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023. FOTO Aswadi Alias
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Gombak: Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa hari ini menyatakan keputusan cadangan penjualan susu formula untuk pesakit kanser di hospital kerajaan memerlukan sedikit masa.

Beliau berkata, ia perlu dilihat dengan teliti dan pihaknya kini sedang berbincang dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengenai perkara itu.

"Saya ada berbincang dengan Menteri (KPDN), tetapi perkara ini kita kena lakukan penelitian.

"Sama ada susu benar-benar bersesuaian, kandungan daripada susu berkenaan, barulah kita boleh buat keputusan. Setakat ini kita masih terbuka untuk perbincangan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Madani Afiat, Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 dan One Hour Malaysia Clean Up Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, faktor harga susu formula untuk pejuang kanser yang semakin mahal menyebabkan, ramai pesakit terpaksa mengambilnya secara berselang-seli dengan susu biasa kerana tidak berkemampuan.

Bahkan, ada antara keluarga pesakit terpaksa bergolok gadai dan berjimat cermat demi menampung kos perbelanjaan keperluan insan tersayang yang diuji dengan penyakit itu.

Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS) Hamidah Tajudin dilaporkan berkata, daripada kira-kira 1,000 pesakit yang bernaung di bawah mereka, kebanyakannya datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 2:20 PM