Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan berbincang dengan Menteri Kesihatan supaya pesakit dibenarkan membeli susu formula untuk pesakit kanser di hospital dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, susu formula untuk pesakit kanser bukan barang harga kawalan dan memahami harganya mahal kerana ia diimport.

"Saya difahamkan hospital membeli susu formula ini secara pukal, mungkin beberapa kontena untuk sekali beli.

"Jadi saya akan cuba berbincang Menteri Kesihatan (Dr Zaliha Mustafa) supaya rakyat boleh membeli di hospital kerajaan dengan harganya sedikit rendah," katanya.

Akhbar ini sebelum ini melaporkan pesakit kanser resah apabila berlakunya kenaikan harga susu formula sejak tahun lalu hingga membebankan mereka.

Kenaikan harga sebanyak RM10 itu didakwa berlaku sejak Disember lalu dan situasi terbabit membuatkan pesakit kanser bimbang jika harga susu berkenaan terus meningkat terutama untuk mereka yang tidak mendapat bantuan.

Difahamkan, harga susu itu yang dulunya dijual pada harga RM78 meningkat kepada RM80, RM82, RM88, RM90 dan terkini RM94 secara berperingkat yang secara tidak langsung membebankan pesakit terutama mereka yang tiada sumber pendapatan.

Salahuddin Ayub melawat kilang pembungkusan minyak masak Chop Boon Sing. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Salahuddin Ayub melawat kilang pembungkusan minyak masak Chop Boon Sing. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

Dalam pada itu, Salahuddin berkata kementeriannya mengambil maklum aduan yang dibangkitkan di media sosial berkaitan harga susu formula bayi yang dikatakan semakin mahal.

Katanya, pihaknya sudah meminta pengusaha pasar raya menghantar laporan pergerakan harga barangan itu bagi enam bulan dan KPDN akan mengambil inisiatif yang sewajarnya sekiranya aduan berkenaan benar berlaku.

"KPDN akan teliti dan kita akan mengambil beberapa inisiatif bagi mendepani aduan harga susu formula bayi dan juga kanak-kanak yang dikatakan naik.

"Tapi setakat harga yang saya lihat hari ini, beberapa produk susu formula berjenama masih lagi dijual pada kadar yang berpatutan.

"Jadi saya dan pegawai KPDN akan sentiasa turun padang dalam beberapa masa ketika ini kerana kita memang perlu untuk mendepani apa jua aduan yang rakyat berikan," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang pembungkusan minyak masak Chop Boon Sing, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 1:42 PM