ANWAR. FOTO BERNAMA
ANWAR. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertemu dengan hartawan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk minggu depan untuk meninjau cara syarikat kenderaan elektrik gergasi itu menambah pelaburan di Malaysia.

"Minggu depan, Elon Musk meminta berunding dengan saya, untuk membincangkan kemungkinan komitmen beliau untuk menambah pelaburan di Malaysia, semua ini dengan bermulanya tata kelola dan pengurusan ekonomi yang baik.

"Minggu lepas, saya bertemu dengan pelabur-pelabur Jepun yang mahu menambah dan mengembangkan pelaburan mereka. Beberapa bulan lepas, saya ke negara China, hasil pelaburan China ke Malaysia adalah paling tinggi dalam sejarah," katanya dalam ucapan pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.

Pada majlis itu, Anwar berkata tata kelola dan pengurusan ekonomi yang baik akan menarik minat dan keyakinan pelabur domestik dan asing untuk melabur di negara ini sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Pada 1 Mac, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementeriannya meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.

Beliau berkata Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan pusat servisnya dan mewujudkan rangkaian pengecas Superchargernya di Malaysia.

Pada masa ini, pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik daripada program pajakan Greentech menghantar kenderaan mereka ke Hong Kong untuk kerja-kerja utama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 11:05 PM