Tesla
Tesla
Mohd Iskandar Ibrahim dan Mohd Zaky Zainuddin


Putrajaya: Tesla Inc bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penting pengeluaran kereta elektrik (EV) di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk dalam pertemuan secara maya menzahirkan persetujuan menubuhkan ibu pejabat Tesla di Cyberjaya.

"Ini adalah hal yang menyakinkan kepada pemacuan ekonomi negara.

"Justeru, dengan kemasukan Tesla ke Malaysia, ia akan memacu ekosistem EV negara.

"Saya memberi jaminan kepada Musk. Saya meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya memberi ruang dan perhatian untuk memenuhi keperluan mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di sini, hari ini.

Terdahulu, perdana menteri mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama Musk.

Ia turut disertai Tengku Zafrul dan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil.

Menerusi sidang video itu, Anwar turut mengucapkan tahniah atas pembukaan ibu pejabat, pusat servis dan pusat pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Musk di Selangor pada tahun ini.

Menurut perdana menteri, Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih seawal 2050.

"Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik.

"Kami turut berbincang berkenaan penyertaan syarikat SpaceX dalam perkhidmatan satelit Starlink yang dapat menyumbang kepada capaian internet yang lebih laju dan meluas terutamanya di kawasan pedalaman, yang hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minimum bagi meningkatkan rangkaian internet global.

"Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya dari aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan," katanya.

Dalam perbincangan maya bersama Musk juga, Anwar berkata, dua lagi syarikat milik hartawan berkenaan iaitu syarikat aeroangkasa, SpaceX dan Starlink yang juga penyedia internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pendaman rendah yang dikendalikan SpaceX juga bercadang menjadikan Malaysia sebagai hab syarikat berkenaan.

"SpaceX sebagai contoh yang dilancarkan pada 2009 di mana Malaysia telah memberi ruang awal kepada mereka berbanding negara lain.

"Berikutan itu, Musk menghargai komitmen yang dilaksanakan Malaysia. Saya tidak akan mengambil kredit di atas usaha kerajaan kerana ia dilaksanakan kepimpinan sebelum ini.

"Saya meminta Tengku Zafrul dan Fahmi untuk membantu memberi perhatian kepada perkara ini.

"Berdasarkan sokongan Malaysia, Musk menyatakan persetujuan untuk datang ke Malaysia tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata, Saudi Aramco ketika menyertai persidangan Energy Asia 2023 turut menyatakan cadangan untuk mengembangkan perniagaan mereka di Johor.

"Ketika pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, negara berkenaan juga mahu jadikan Malaysia sebagai hab minyak dan gas (O&G)," katanya.

Anwar menjelaskan, komitmen yang dinyatakan syarikat gergasi dunia jelas menunjukkan ada kelebihan meluaskan pelaburan ke negara ini.

Beliau berkata, dengan komitmen itu juga, ia membuka ruang kepada negara bertapak semula sekiranya berjaya menarik pelabur besar ke Malaysia.

"Dalam pada negara berdepan paras hutang yang tunggu, defisi dan cabaran ekonomi global, berita baharu membabitkan cadangan pelaburan ini menjadikan sesuatu yang boleh membantu dan diharapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2023 @ 5:20 PM