Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pertemuan antara Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendorong reaksi berantai dalam perjalanan negara ke arah menjadi hab kenderaan elektrik (EV) di rantau ini, kata seorang pakar ekonomi.

Profesor ekonomi Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng menyatakan bahawa perbincangan yang membuahkan hasil antara gergasi EV global dan pemimpin Malaysia, yang dijangka berlangsung dalam minggu ini, juga akan membawa kepada komitmen selanjutnya yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara amnya.

Tanpa mengira jenis dan nilai pelaburan yang Tesla berhasrat bawa ke Malaysia, Yeah berkata sebarang komitmen yang bakal muncul hasil daripada mesyuarat itu akan menyediakan industri EV Malaysia dengan rangsangan besar.

"Pelaburan ikonik biasanya mempunyai kesan limpahan yang lebih besar melalui peningkatan, pengukuhan keyakinan pelabur tempatan dan asing serta lebih banyak penyertaan dalam pelaburan.

"Ini bakal membuka lebih banyak peluang kepada pembekal, penyedia perkhidmatan serta pengeluar alat ganti dan komponen untuk terlibat secara aktif dengan industri EV," katanya kepada Bernama.

Jumaat lepas (7 Julai), Anwar, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan bahawa beliau akan bertemu Musk untuk membincangkan langkah syarikat EV mega itu dalam meneruskan pelaburannya di Malaysia.

Sehubungan itu, Yeah berkata pertemuan itu bakal memberikan implikasi positif kerana ia mengesahkan hala tuju ekonomi kerajaan untuk memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) berimpak tinggi, bernilai tinggi dan langkah ke arah tenaga bersih.

"Jumlah FDI Malaysia akan terus meningkat sekiranya hasil daripada mesyuarat itu dapat memberikan Musk atau mana-mana projek beliau bertapak di negara ini," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan potensi kerjasama antara Malaysia dan Tesla bukan sahaja terhad kepada sektor EV tetapi kepada sektor lain juga.

"Apa yang kami mahu ialah untuk menarik lebih banyak potensi atau komitmen pelaburan dalam sektor automotif dan sektor lain yang boleh kami pasarkan di Malaysia," katanya.

Tesla, pereka dan pengilang EV yang beribu pejabat di Austin, Texas, Amerika Syarikat, akan membuat kemunculan rasminya di Malaysia di Kuala Lumpur pada 20 Julai.

Pada masa ini, pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik program pemajakan Greentech telah menghantar kereta mereka kembali ke Hong Kong untuk kerja-kerja pembaikan utama.

Dalam pada itu, CEO Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) Azrul Reza Aziz melahirkan keyakinan bahawa pertemuan antara Anwar dan Musk akan membuka jalan kepada kerjasama yang membuahkan hasil antara Malaysia dan Tesla dalam tempoh terdekat.

"Kami sangat teruja dengan prospek hasil daripada mesyuarat itu. Kemungkinan untuk Tesla meningkatkan lagi pelaburan di Malaysia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara kita dan membolehkan pembangunan ekosistem mobiliti yang mampan dan mesra alam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 11:28 AM