Jokowi bertemu Musk di Boca Chica, Texas. - FOTO Reuters
Jokowi bertemu Musk di Boca Chica, Texas. - FOTO Reuters
Reuters

Jakarta: Presiden Joko Widodo bertemu ketua eksekutif Tesla, Elon Musk pada Sabtu di Texas untuk membincangkan mengenai pelaburan dan teknologi, menurut kenyataan oleh kerajaan Indonesia.

Menurut perkongsian pegawai rasmi Indonesia dengan Reuters, pertemuan antara Jokowi dan Musk terjadi selepas perbincangan mengenai satu pelaburan yang berpotensi dalam industri nikel dan perbekalan bateri untuk kenderaan elektrik.

Menurut mereka dan dua orang yang tahu mengenai perbincangan itu, wakil-wakil dari Tesla melawat Indonesia minggu lalu bagi membincangkan potensi pelaburan berkaitan bateri.

Tesla bagaimanapun tidak memberi sebarang komen berkaitan hal itu.

Indonesia sudah beberapa tahun cuba untuk memeterai perjanjian kerjasama dengan Tesla berkaitan pelaburan bateri dan pada masa akan datang, syarikat aeroangkasa SpaceX milik Musk.

Jokowi bertemu Musk di tapak pelancaran SpaceX di Boca Chica, Texas selepas menghadiri persidangan Asean-Amerika Syarikat di Washington.

Beliau menjemput jutawan itu untuk berkunjung ke Indonesia pada November.

Jokowi akan menyambut kedatangan pemimpin 20 ekonomi besar dunia di sidang puncak G20 pada November di Bali.

Menurut kerajaan Indonesia, Musk berkata, "Harap-harapnya pada November."

Musk berkata ada ruang untuk "bekerjasama dalam banyak hal kerana Indonesia mempunyai banyak potensi," menurut kenyataan itu.

Indonesia mempunyai bekalan nikel terbesar di dunia dan Jokowi berminat untuk membangunkan industri kenderaan elektrik menggunakan nikel di negara itu.

Ini termasuk menghasilkan logam nikel dan bahagian-bahagian bateri serta memasang kenderaan elektrik (EV).

Sebelum ini, beliau juga telah menyuarakan permintaannya kepada Musk untuk mempertimbangkan Indonesia sebagai tapak pelancaran roket syarikatnya itu.

Dua perjanjian dalam beberapa bulan lalu telah mengukuhkan lagi usaha Jokowi untuk membangunkan industri berkaitan EV di tengah-tengah keadaan di mana pengilang kereta antarabangsa menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan-bahan bateri dan mengurangkan kebergantungan mereka kepada China.

Sebuah konsortium yang diterajui syarikat Korea Selatan, LG Energy Solution iaitu penghasil bateri EV kedua terbesar di dunia, bulan lalu mengumumkan rancangan untuk melabur sebanyak AS$9 bilion di Indonesia sebagai sebahagian daripada satu perjanjian yang juga merangkumi penapisan nikel bagi menghasilkan bateri di Indonesia.

Saingan lebih besar LG, Contemporary Amperex Technology yang bertapak di China, juga mengumumkan pelaburan AS$9 bilion di Indonesia pada April.

Syarikat itu adalah antara pembekal bagi Tesla.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 5:37 PM