ELON Musk. FOTO Reuters
ELON Musk. FOTO Reuters
BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan secara maya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk, esok.

Ketika ditanya pemberita mengenai pertemuan itu, Anwar membalas dengan jawapan 'esok'.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog bersama agensi penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, pada Khamis.

Anwar pertama kali memaklumkan perkara itu pada Jumaat minggu lalu dengan berkata beliau akan bertemu dengan Musk minggu ini bagi meneroka cara untuk syarikat kenderaan elektrik utama itu menambah pelaburan di Malaysia.

Pada 1 Mac, 2023 Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kementeriannya telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.

Beliau dilapor berkata Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia selain memperkenalkan pusat servis dan mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger.

Pada masa ini, pusat servis rasmi Tesla yang terdekat terletak di Singapura dan pemilik daripada program pajakan Greentech menghantar kenderaan mereka ke Hong Kong untuk kerja-kerja utama.

Sementara itu, ahli ekonomi yakin pertemuan antara Musk yang juga Pengasas Tesla dengan Anwar akan mewujudkan reaksi rantaian dalam usaha negara menjadi hab kenderaan elektrik (EV) di rantau ini.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata perbincangan yang membuahkan hasil antara syarikat EV global dan pemimpin Malaysia itu juga akan membawa komitmen seterusnya yang boleh memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara amnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 8:32 PM