GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Seremban: Keputusan kerajaan untuk mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini adalah bukti pengiktirafan kerajaan terhadap peranan kakitangan awam terutama kumpulan sokongan.

Rata-rata penjawat awam menyifatkan keputusan itu sebagai tanda keprihatinan dan komitmen tinggi kepimpinan Kerajaan Perpaduan terhadap kebajikan lebih sejuta penjawat awam di negara ini.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan Rusmimah Mat Derus, 56, berkata penjawat awam sudah tentu menyokong penuh usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dengan menilai semula skim gaji seiring perkembangan ekonomi semasa.

"Sebagai Ketua Jabatan, saya lihat perkara ini akan memberikan manfaat kepada pekerja yang gajinya hanya RM1,200 sahaja. Kalau diikutkan dalam keadaan semasa ini, jumlah itu agak sedikit jika hendak dibandingkan kenaikan harga barang ketika ini," katanya kepada Bernama.

Senada dengannya, Pegawai Tadbir Pejabat Kerajaan Negeri Sembilan Nor Nuha Sultan, 37, berkata, pengumuman itu berita gembira dan sentiasa ditunggu-tunggu oleh penjawat awam.

"Saya setuju dengan cadangan Perdana Menteri tadi, gaji penjawat awam ketika ini memang agak rendah dan ia perlu dikaji semula.

Bagi menampung kehidupan, ada dalam kalangan penjawat awam terutamanya dalam kumpulan sokongan berniaga secara dalam talian, lebih-lebih lagi kos sara hidup kini juga tinggi, jadi wajar sekiranyanya skim gaji itu disemak semula," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Jempol Nawal Mohamed Amin menyifatkan pengumuman berkenaan sebagai penghargaan kerajaan terhadap komitmen penjawat awam selain menyuntik semangat untuk bekerja dengan lebih baik dan meningkatkan produktiviti dalam perkhidmatan.

"Sebagai penjawat awam sudah tentu kami menyambut baik perkara itu kerana dengan beban kerja yang bertambah mendepani cabaran baharu era ini serta kemahiran juga perlu ditambah, jadi bila disemak semula skim gaji itu ia akan meningkatkan motivasi," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara, dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Beliau berkata, keputusan mengkaji semula skim gaji berkenaan dibuat berikutan tiada kenaikan diberikan bagi tempoh yang agak lama, dengan kali terakhir skim gaji disemak adalah pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 5:28 PM