GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan bersetuju memperluaskan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM300 sebulan kepada Veteran Tidak Berpencen bermula usia 60 tahun berbanding ia hanya dinikmati pada usia 80 tahun sebelum ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, insentif itu berkuat kuasa bulan depan dan akan memberi faedah kepada seramai 41,970 orang dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun.

"Pemanjangan BSH kepada Veteran Tidak Berpencen pada usia 60 tahun ini adalah kesinambungan keprihatinan Kerajaan kepada penjawat awam.

"Selain daripada insentif yang berbentuk kewangan, kebajikan veteran (Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dititik beratkan oleh kerajaan untuk diberi keutamaan jawatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran mereka semasa dalam perkhidmatan ATM," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PA) Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Mohd Zuki berkata, mesyuarat terbabit turut membincangkan penambahbaikan dan kebajikan anggota penjawat awam terutamanya status kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam.

Katanya, kali terakhir semakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada tahun 2001 dan penambahbaikan gaji tidak dibuat sejak tahun 2013.

"Perdana Menteri semasa di Perhimpunan Hari Pekerja Tahun 2023 pada 1 Mei lalu mengumumkan untuk membuat semakan semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam.

"Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan penjawat awam yang merupakan tulang belakang kepada negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam itu akan melihat secara keseluruhan aspek perkhidmatan penjawat awam meliputi aspek saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam.

"Untuk permulaan, kajian ini akan memberi penekanan kepada kemampanan saraan penjawat awam bagi memastikan upah, gaji dan elaun adalah setimpal dengan tanggungjawab serta seiring dengan peningkatan kos sara hidup.

"Sementara kajian ini diteliti, kerajaan komited membuat penambahbaikan termasuk elemen kemudahan elaun untuk dijadikan sebahagian daripada pembentangan Belanjawan Madani yang akan dibentangkan pada Oktober ini," katanya.

Selain itu, katanya, bagi tahun ini, penjawat awam sudah menikmati Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 sejak Januari lalu serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 dan Bantuan Khas Kewangan Tahun 2023 sebanyak RM700 pada awal tahun 2023

Kerajaan juga sebelum ini sudah mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam dan RM200 kepada pesara kerajaan semasa pembentangan Ekonomi Madani yang akan dibayar pada 10 Ogos ini.

"Sebagai bukti bahawa penjawat awam juga sentiasa berpegang kepada lafaz Ikrar Perkhidmatan Awam, maka saya dan penjawat awam akan terus komited dalam memastikan setiap dasar dan inisiatif Kerajaan disegerakan serta dilaksanakan dengan jayanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 7:32 PM