GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Aizat Sharif


Arau: Banduan maut selepas mengalami sesak nafas ketika sedang makan tengah hari di Pusat Koreksional Perlis, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Arau, Deputi Superintendan Shaharruddin Abdul Talib berkata, kejadian berlaku pada 1.15 tengah hari ketika mangsa, Mohd Hanafiah Abdul Samad, 42 sedang menjamu selera di bilik tahanannya di pusat koreksional berkenaan.

"Mangsa tiba-tiba mengalami sesak nafas sehingga tidak sedarkan diri dan pegawai penjara yang menyedari kejadian itu membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sekitar 25 minit kemudian.

"Namun, mangsa disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mangsa adalah banduan yang berada dalam tempoh tahanan reman dari Mahkamah Langkawi, Kedah.

"Dia ditahan di Pusat Koreksional Perlis bermula 16 Mei lalu atas kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Berdasarkan rekod kesihatan mangsa juga didapati mempunyai sejarah penyakit Hepatitis C dan sering mengambil alat penyedut pernafasan atau 'inhaler' kerana sering mengalami semput serta sesak nafas," katanya.

Shaharruddin berkata, keluarga dan waris mangsa sudah dimaklumkan, namun tidak dapat hadir kerana berada di Langkawi.

Katanya, proses bedah siasat dijangka dijalankan esok dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 11:38 PM