HAMID (kiri) meninjau keadaan sel banduan di Pusat Koreksional Perlis di Arau. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
HAMID (kiri) meninjau keadaan sel banduan di Pusat Koreksional Perlis di Arau. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


JUMLAH banduan di Pusat Koreksional Perlis (PKPs) di Arau sudah melebihi kapasiti asal dengan pertambahan penghuni lebih sekali ganda.

Pengarah Pusat Koreksional Perlis, Penolong Komisioner Penjara (PKP) Hamid Taha berkata, terdapat seramai 1,422 banduan di pusat berkenaan ketika ini berbanding kapasiti asal hanya seramai 600 banduan.

Katanya, keadaan dalam pusat terbabit masih terkawal, namun peningkatan jumlah banduan sejak 2017 lalu dikhuatiri boleh menjejaskan aktiviti pengurusan dalaman.

“Setakat ini jumlah kakitangan di dalam pusat koreksional ini adalah seramai 220 orang termasuk pegawai dan purata jumlah banduan masuk ke penjara adalah antara 30 ke 50 orang sehari.

“Daripada segi penyediaan pakaian kepada banduan, kita masih mempunyai bajet untuk itu, namun buat masa ini pengurusan tidak menyediakan selimut atau blanket kepada banduan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Hamid berkata, selain Perlis, PKPs turut menerima banduan daripada Kedah yang membabitkan daerah Kubang Pasu dan Langkawi.

“Kita khuatir kerana mengikut prosedur penjara, sehari dihadkan hanya lima banduan saja yang akan ke hospital bagi mendapatkan rawatan dengan ditemani kakitangan penjara sekiranya sakit.

“Namun ada ketikanya, kita terpaksa menghantar seramai 10 banduan kerana jumlah yang sakit ramai berikutan pertambahan jumlah penghuni.

“Jika mereka terpaksa ditahan di wad, enam kakitangan diperlukan untuk menjaga seorang banduan dan kita bimbang ia akan memberi kesan kepada kakitangan lain di dalam penjara,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pesalah yang ditahan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Hamid berkata, jumlahnya adalah seramai 70 orang dan pihaknya mengambil langkah pengasingan serta penjagaan rapi.

“Memang kita asingkan mereka (pesalah PKP) daripada sel tahanan sedia ada, malah mereka juga akan melalui fasa pembersihan dan saringan daripada kakitangan kesihatan di dalam penjara sebelum memasuki sel.

“Selain itu, mereka juga akan diminta membersihkan diri terlebih dulu di tempat khas sebelum memasuki sel dan peralatan makanan juga dikhaskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 5:11 PM