ZETH berehat selepas selesai melalui proses berkhatan. FOTO Hafizudin Mohd Safar
ZETH berehat selepas selesai melalui proses berkhatan. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


“BERDEBAR juga bila lihat kanak-kanak sebelum saya keluar dari bilik operasi khatan dalam keadaan menangis teresak-esak.”

Itu antara luahan penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Zeth Simon, 23, yang juga peserta Majlis Khatan Perdana Anjuran Pusat Koreksional Perlis di Arau hari ini.

Berasal dari Kota Belud, Sabah, beliau adalah peserta tunggal dewasa daripada 24 peserta majlis berkhatan itu dan kehadirannya di Dewan Serbaguna Pusat Koreksional Perlis sambil memegang kain pelikat mencuri tumpuan umum.

Program sehari itu julung kalinya dianjurkan secara bersama antara Pusat Koreksional Perlis, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Chuping dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Zeth berkata, faktor kebersihan dan kesihatan diri antara sebab utama menyedarkan dirinya mengenai kebaikan berkhatan yang sinonim dengan ajaran Islam.

"Saya mengetahui program khatan ini daripada rakan muslim di universiti yang beritahu bahawa mereka terlihat iklan majlis berkenaan di media sosial bulan lalu.

"Merekalah yang banyak membantu dari segi mendapatkan borang di pejabat DUN, malah mengingatkan ia perlu dihantar sebelum 30 November lalu," kata penuntut tahun akhir jurusan Kejuruteraan Industri itu.

Menurut Zeth, meskipun pada awalnya merasa gementar, namun dirinya berjaya mengawal perasaan sehingga selesai proses berkhatan.

ZETH (kanan) mengucapkan terima kasih kepada petugas perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar selepas selesai melalui proses berkhatan. FOTO Hafizudin Mohd Safar
ZETH (kanan) mengucapkan terima kasih kepada petugas perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar selepas selesai melalui proses berkhatan. FOTO Hafizudin Mohd Safar

"Masa yang diambil untuk siap berkhatan saya anggarkan dalam 10 ke 20 minit, namun apa yang membuat saya lebih bersyukur ialah ketika proses itu dijalankan saya tidak berasa sakit sedikit pun.

"Cuma saya perlu berpantang dari mengambil makanan berminyak, telur dan beberapa makanan lain bagi mengelakkan sebarang jangkitan dalam seminggu dua ini.

"Apapun saya bersyukur semuanya berjalan lancar dan saya harap cepat sembuh sebelum hujung bulan ini memandangkan musim peperiksaan akhir semester di UniMAP bermula seminggu sebelum akhir tahun," kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penjara Negeri Perlis, Mat Johir Asin@Hashim berkata, pihaknya bersyukur program khatan edisi pertama itu berjalan lancar.

"Program berkhatan ini julung kalinya diadakan oleh Jabatan Penjara negeri dan untuk edisi kali pertama ini kita menghimpunkan 23 kanak-kanak lima ke 10 tahun dari DUN Chuping dan sebahagian daripadanya anak kakitangan Pusat Koreksional Perlis. Malah kita juga menerima seorang peserta dewasa iaitu Zeth Simon," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 1:53 PM