GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Pencuci kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya sehingga cedera, bulan lalu.

Bapa dua anak, L Daneshwaran, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan cedera dengan memukul S Kasturi, 29, di sebuah unit apartmen di Jalan 5/3 Bandar Puchong Jaya, di sini pada 12.30 tengah malam, 29 Jun lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili Daneshwaran memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga selain tiada risiko melarikan diri.

"Anak guam saya bekerja sebagai pencuci kereta dan menanggung ibu bapa dan dua anak yang berusia tiga dan dua tahun," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan.

Shahril Anuar kemudian menetapkan 14 September untuk sebutan kes.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 3:13 PM