KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur
KOMPLEKS Mahkamah Kuala Lumpur
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan penyata bank palsu atas nama syarikat miliknya, empat tahun lalu.

Ahmad Faiz Fikrey Izani ,35, didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen palsu iaitu satu set penyata bank Maybank Islamic bagi Oktober, November dan Disember 2018 atas nama syarikat milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Putrajaya di Putrajaya pada 12.01 tengah hari 20 Februari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 akta serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya , jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga serta dua anak yang masih kecil.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 29 November ini untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 12:48 PM