OPERASI Penguatkuasaan Perburuhan Bersepadu Negeri Selangor di Tapak binaan apartment rumah Selangor, Taman Mas Puchong. FOTO: Amirudin Sahib.
OPERASI Penguatkuasaan Perburuhan Bersepadu Negeri Selangor di Tapak binaan apartment rumah Selangor, Taman Mas Puchong. FOTO: Amirudin Sahib.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Langat: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan sejumlah RM6.8 juta kompaun terhadap majikan yang gagal menjaga kebajikan dan keperluan asas pekerja sejak Januari 2022 sehingga 28 Mac.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM, Mohd Asri Abd Wahab berkata, nilai itu membabitkan 2,396 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022.

"Sebanyak RM6.8 juta kompaun dikeluarkan dengan RM5.6 juta kompaun untuk kesalahan mengikut Akta 446, Akta Kerja 1955 (RM1.2 juta) dan PGM 2022 (RM1,500).

"Dalam tempoh sama, beberapa majikan diheret ke mahkamah dan hasil pendakwaan dijalankan membawa kepada tuntutan denda berjumlah RM495,300," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Penguatkuasaan Perburuhan Bersepadu Negeri Selangor, di sebuah tapak pembinaan projek perumahan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Dasar Kementerian Sumber Manusia (KSM), S Siva Kumar dan Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Selangor, Jasmi Mohd Salleh.

Operasi itu disertai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), CIDB Selangor dengan kekuatan keseluruhan anggota operasi 74 orang.

Mohd Asri berkata, mana-mana majikan yang menggajikan pekerja tidak kira warga asing atau tempatan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan bagi menjamin kebajikan pekerja terjaga.

"Majikan perlu menyediakan tempat tinggal dengan ruang selesa dan selamat termasuk katil, tilam dan almari serta kemudahan lain seperti tempat memasak, tandas dan bilik air mencukupi.

"Mereka perlu mempunyai Perakuan Penginapan daripada JTKSM dalam memastikan segala kebajikan dan keperluan pekerja memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Katanya, dalam operasi hari ini, syarikat terbabit didapati melanggar beberapa peraturan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 [Akta 446].

Menurutnya, premis menempatkan kira-kira 700 buruh asing dan 338 pekerja tempatan itu didapati tidak pernah memohon sijil perakuan penginapan dari pihak JKTSM bagi menempatkan pekerja terbabit.

"Kediaman untuk pekerja majikan menyediakan sebanyak 120 unit rumah berupa kontena bagaimanapun tidak mempunyai Perakuan Penginapan daripada JTKSM.

"Majikan langsung tidak mempunyai rekod untuk sebarang permohonan perakuan penginapan seperti yang tertakluk dalam perundangan," katanya.

Menurutnya, JTKSM membuka tiga kertas sasaran di bawah Akta 446, satu mengikut Akta Pekerja 1955 manakala tapak pembinaan itu juga didapati melanggar 10 peraturan di bawah bidang kuasa JKKP.

"10 kesalahan berkenaan antaranya besi rebar terdedah, pendawaian elektrik yang tidak selamat dan juga laluan pekerja terhalang.

"Di bawah bidang kuasa CIDB pula, terdapat beberapa kesalahan dilakukan majikan antaranya masih menggunakan dua sub kontraktor yang tamat tempoh pendaftaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 3:53 PM