GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Polis sedang mengesan pemilik kenderaan yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang pejalan kaki maut di Kilometer 2.5 Jalan Simpang Tiga, Jeram, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu pada 7.20 pagi.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 5 pagi ketika mangsa berjalan kaki seorang diri dari rumah di Ladang Lombourne, Jeram ke rumah saudara yang terletak kira-kira 100 meter.

"Mangsa disyaki dilanggar lari oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran.

"Tiada sebarang kesan brek mahu pun sisa pecahan kenderaan dikesan. Mangsa maut di lokasi kejadian.

"Justeru, orang ramai diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau 03-32891222 ," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 5:37 PM