MAYAT warga asing yang dijumpai di dalam longgar. FOTO Bernama
MAYAT warga asing yang dijumpai di dalam longgar. FOTO Bernama
BERNAMA

Johor Bahru: Mayat lelaki ditemukan orang awam di dalam longkang di Jalan Tampoi Lama, di sini, semalam, dipercayai mangsa langgar lari.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) JBS menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki warga asing itu pada 10.20 pagi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa adalah pejalan kaki yang dipercayai dilanggar kenderaan yang jenis serta nombor pendaftaran tidak diketahui dalam kejadian pada 9 pagi hari sama.

"Mangsa dipercayai berjalan kaki di sebelah kiri bahu jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan tidak dikenalpasti lalu tercampak ke dalam longkang.

"Mangsa didapati parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Padzli berkata, saksi kejadian dan orang ramai yang mengetahui mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Kelly Lee Ya Yek di talian 07-2237977 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Nazarudin Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.37 pagi semalam.

Beliau berkata, dua jentera dan 10 anggota kemudiannya dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa dipercayai berusia 30-an itu.

"Mangsa berada di dalam longkang sedalam enam 1.8 meter dan kami mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi tamat sepenuhnya pada 12.35 tengah hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 3:35 PM